Penjawat awam dilarang buka akaun FB rasmi

1

KUCHING: Penjawat awam dilarang membuka akaun Facebook (FB) rasmi tanpa arahan ketua jabatan ma-sing-masing bagi mengelak sebarang masalah timbul berikutan penglibatan dalam penggunaan laman sosial itu.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, perintah itu termaktub di dalam Perintah Am dan mana-mana penjawat awam yang melanggar perintah tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib.

“Seperti semua sedia maklum, Perintah Am ada menjelaskan penjawat awam di negara ini adalah dilarang untuk membuka akaun rasmi FB, dan sekiranya didapati mereka melanggar perintah ini, maka pihak kerajaan berhak mengambil tindakan tatatertib.

“Namun, ia merupakan di luar kawalan kerajaan seandainya mereka masih membuka akaun FB peribadi di luar pengetahuan kami.

“Setakat hari ini, pihak kami belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-30 di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilengkapi dengan portal rasmi yang boleh dilayari oleh orang awam yang ingin mengetahui sebarang maklumat terbaharu daripada jabatan tersebut.

Justeru, menurutnya, JPA tidak memerlukan sebarang akaun FB memandangkan portal rasmi itu sudah memadai untuk kegunaan orang awam.

Beliau menyokong ulasan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini berkenaan isu penglibatan orang awam dalam penggunaan laman sosial FB yang boleh memudaratkan sekiranya tidak dipantau.

Selain itu, katanya, penglibatan orang awam dalam jaringan sosial itu kini menjadi cabaran kepada kerajaan ter-utama dalam usaha mengawal penggunaannya agar tidak mengundang masalah kepada kehidupan seharian.

“Pihak kerajaan akan mengkaji serta membuat pantauan secara berterusan agar sebarang masalah yang timbul berkaitan laman sosial ini boleh dielakkan. Pada masa sama, saya menyeru orang ramai agar mengguna-kan laman Internet dengan sebaik-baiknya,” katanya.