Waspada individu sebar maklumat tidak tepat mengenai kalimah ‘Allah’

0

KUCHING: Rakyat khasnya di luar bandar diingatkan agar berhati-hati dengan kehadiran sekumpulan individu yang merancang untuk menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai isu kalimah ‘Allah’ meskipun ia bukan satu isu bagi negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, terdapat segelintir individu yang berkepentingan politik cuba bergerak ke luar bandar untuk meracuni fikiran rakyat mengenai isu itu.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Selangau mengingatkan rakyat khasnya di luar bandar agar berwaspada dengan pergerakan kumpulan ini yang cuba mengelirukan tindakan yang telah dibuat oleh kerajaan.

“Saya ingin mengingatkan anda sekali lagi bahawa isu kalimah ‘Allah’ bukan satu isu bagi kita di Sarawak dan Sabah, tetapi yang menjadikannya isu ialah tindakan segelintir pihak yang cuba mengelirukan rakyat demi kepentingan politik mereka.

“Anda harus ingat, senario di Sarawak dan Sabah adalah berbeza dengan di Semenanjung Malaysia dan saya berharap agar kita di Sarawak ini tidak akan berkelahi antara satu sama lain hanya kerana fakta mengelirukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal sempena Kempen Tabung Pahlawan anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Batu Kawa di salah sebuah restoran di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Penaung PBTM Cawangan Batu Kawa, Datuk John Sikie Tayai , Yang Dipertua (YDP) PBTM Sarawak, Spencer Birai serta yang lain.

Pada majlis itu, Entulu turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan mengenai Perjanjian Sepuluh Perkara atau ‘10 Points Agreement’ yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 2 April 2011 yang lalu mengenai penggunaan kalimah ‘Allah.’

Dengan penjelasan tersebut, Entulu berharap rakyat amnya di Sarawak tidak akan keliru dengan penggunaan kalimah ‘Allah’ serta tidak bertindak mengikut perasaan jika berdepan dengan isu membabitkan hal itu.