Persatuan alumni harus tentu hala tuju, cari jalan bantu masyarakat

0

LANGKAH AWAL: Uggah (lima kiri) mengetuai acara memotong kek pada Majlis Prapelancaran PADUM baru-baru ini. Turut kelihatan Peter (empat kiri) dan Cooplay (tujuh kiri).

KUCHING: Persatuan atau pertubuhan alumni sesebuah institusi pengajian tinggi atau sekolah harus menentukan hala tuju dan mencari jalan terbaik untuk menyumbang semula kepada masyarakat, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Mendaftar persatuan dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) perkara mudah tetapi perlu ingat untuk memastikan persatuan bergiat aktif serta memenuhi visi dan misinya adalah perkara paling sukar.

“Saya percaya persatuan alumi dan khususnya Persatuan Alumni Dayak Universiti Malaya (PADUM) mempunyai ahli daripada pelbagai latar belakang profesion dan bergraduat dalam pelbagai sektor.

“Justeru ia perlu mencari jalan terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Prapelancaran PADUM di sini baru-baru ini.

Kira-kira 200 graduan Universiti Malaya termasuk Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak (BBHA) Datuk Peter Minos dan Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah Datu Jaul Samion turut hadir.

Uggah yang juga penaung persatuan itu berkata menerusi persatuan, ahli juga dapat mewujudkan hubungan selain berkongsi kejayaan antara satu sama lain.

Beliau turut mencadangkan agar PADUM menjalin kerjasama yang kukuh dengan Alumni Universiti Malaya peringkat kebangsaan menerusi perkongsian strategik.

“PADUM juga perlu menjalinkan perkongsian strategik dengan ahli-ahli yang bekerja serta menjalankan perniagaan di luar negara.

“Pada masa sama saya menggesa graduan Dayak daripada UM menyokong persatuan ini dengan menjadi ahli,” tambahnya.

PADUM didaftar dengan ROS pada 18 November 2013 dan diketuai Pengerusi Protemnya Cooplay Nyipa Aji.

Sementara itu, Cooplay berkata persatuan kini dalam proses pengambilan ahli dan percaya ramai pelajar Dayak telah berjaya menamatkan pengajian mereka di UM.

Katanya persatuan akan membincang seterusnya merangka aktiviti serta cara terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat.

Pada majlis sama Uggah menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada PADUM bagi membolehkannya menganjurkan aktiviti-aktiviti awal dan berjanji akan memberi RM30,000 lagi dalam peruntukan tahun depan.