Lagi buaya ganas ditewaskan Indet Senabong

7

TUMPAS: Indet (memegang tali) mengikat kepala buaya yang diberi jolokan Bujang Raja Hitam bersama penduduk di Roban, semalam.

Bujang Raja Hitam tewas di tangan pawang buaya terkenal ini selepas Bujang Lubok

ROBAN: Belum sampai sembilan jam, kail pancing berumpankan daging anjing dipasang oleh pawang buaya terkenal, Indet Senabong, 50, dari Empelawa Betong di Sungai Seblak berjaya menewaskan Bujang Lubok sepanjang 12 kaki pada awal pagi kelmarin, satu lagi mata kailnya yang dipasang di Lubok Kedur turut mengena sasaran yang kedua.

Kali ini buaya terbabit bersaiz lebih besar daripada Bujang Lubok iaitu sepanjang 16 kaki dan mempunyai belakang selebar tiga kaki.

Buaya jantan yang diberi jolokan Bujang Raja Hitam oleh Indet, berjaya ditewaskan di satu tempat yang dikenali penduduk setempat sebagai Lubok Kendur yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dengan enjin pam dari Rumah Mawan Ason, Empayak, Roban.

Indet berkata, Bujang Raja Hitam yang ditumpaskan itu juga adalah sejenis buaya tembaga dan salah satu spesies buaya ganas.

“Ketika menundukkan Bujang Raja Hitam, saya mengambil masa lebih kurang satu jam untuk menangkap dan mengikatnya kerana ia begitu kuat, berat serta faktor air pasang menyukarkan untuk bergerak dan menariknya keluar dari dalam air.

“Bujang Raja Hitam berjaya ditangkap jam 5.30 petang Ahad (kelmarin) iaitu selepas selesai mengebumikan bangkai Bujang Lubok yang berjaya ditangkap pada jam 9 paginya,” kata Indet di sini semalam.

Menurutnya, penangkapan Bujang Raja Hitam terus merungkai kenyataan bahawa masih banyak buaya besar berkeliaran di Sungai Seblak yang kemungkinan memburu mangsa seterusnya.

“Melalui pengalaman saya sepanjang terlibat dalam menumpaskan buaya ganas ini, Bujang Raja Hitam mempunyai sejarah tersendiri.

“Berdasarkan beberapa tanda yang terdapat pada tubuhnya iaitu pada ekor, Bujang Raja Hitam terdapat empat koyakan pada bahagian atas ekornya membuktikan bahawa terdapat empat orang manusia menjadi mangsanya.

“Dari segi usia, berkemungkinan buaya itu berusia hampir 100 tahun,” ujar Indet.

Menceritakan serba sedikit mengenai kaedah dan petua menangkap buaya yang diamalkannya, Indet berkata: “Ia mempunyai banyak pantang larang”.

“Paling utama ialah kesabaran, jangan ego dan jangan celupar mulut.

“Setiap buaya memakan kail yang dipasang bukan buaya sembarangan.

“Buaya yang ditangkap itu adalah daripada kategori ‘berdosa’ sama ada terlibat secara langsung dalam menangkap manusia ataupun tidak.

“Maksudnya buaya yang menangkap dan membunuh manusia sudah pasti akan menyerah diri.

“Manakala bagi mana-mana buaya yang turut sama memakan bahagian daging manusia yang dibunuh akan turut berada dalam situasi yang berdosa dan bakal menerima akibat sama seperti berlaku kepada buaya menangkap manusia iaitu akan memakan umpan kail yang dipasang,” katanya.

Pada masa yang sama, ramai masyarakat percaya bahawa hakikat mimpi yang dialami dan diceritakan oleh Indet bermaksud buaya-buaya yang berdosa hanya akan memakan umpan yang dipasangnya setelah mangsa, Adrian Thomas, 32, dari Rumah Mawan Ason dibawa balik ke rumahnya dari Hospital Saratok dan dikebumikan.

Dalam usaha ini, Indet mengambil masa lebih kurang tujuh hari untuk menundukkan buaya-buaya terbabit.

Dengan penangkapan Bujang Raja Hitam, maka berakhirlah misi menangkap buaya dilakukan oleh Indet untuk mencari pemangsa yang membaham seorang nelayan sungai, Adrian.

Semua mata kail yang dipasangnya telah pun diangkat pada tengah hari semalam.

Begitupun, persoalan mengenai Bujang Seblak masih menghantui penduduk setempat, adakah buaya legenda itu masih wujud atau sebaliknya.