Lebuh Raya Pan Borneo perlu RM22b, siap 2025

0

KUCHING: Jumlah peruntukan untuk menyiapkan serta menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo secara keseluruhannya adalah RM22 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Namun begitu Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, projek tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat tetapi berterusan untuk setiap lima tahun mengikut peruntukan tahunan.

“Pada tahun depan kita mempunyai peruntukan sebanyak RM800 juta untuk kerja-kerja menyiapkan dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo setelah ditambah dengan peruntukan lebihan daripada tahun ini.

“Namun begitu, kita harus bersikap realistik apabila melaksanakan projek dari segi kebolehan para kontraktor, bahan-bahan binaan serta peralatan yang mencukupi untuk membina jalan,” ujar Fadillah ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Futsal Terbuka Petra Jaya di Kompleks Sukan Satok kelmarin.

Pada perlawanan akhir, pasukan KTT dari kawasan Tupong berjaya menguasai kejohanan dengan memenangi tiga daripada empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori lelaki terbuka, bawah 17 tahun dan bawah 12 tahun.

Para pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, pingat, piala iringan serta piala pusingan yang menyaksikan sebanyak 80 pasukan melibatkan 800 pemain mengambil bahagian, anjuran Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok.

Sementara itu, pasukan Tidal Bore muncul juara bagi kategori wanita manakala pasukan N8 Satok memenangi kategori jemputan dan hadiah-hadiah pemenang disampaikan oleh Fadillah sambil diiringi Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Satok Iskandar Sharkawi dan Pengerusi KSK Satok Irwan Zulkarnain Mohd Hasbie.

Di samping itu, Fadillah turut mengumumkan perancangan fasa ketiga pembangunan Kompleks Sukan Satok termasuk pemasangan bumbung bagi gelanggang futsal akan diteruskan dalam masa terdekat bagi kemudahan serta menggalakkan aktiviti sukan dan riadah yang sihat di kalangan penduduk setempat.

Pada masa yang sama, beliau turut mengakui peruntukan untuk membina dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo adalah tidak mencukupi namun beliau akan tetap melaksanakannya mengikut keperluan negeri Sarawak.

“Saya mengakui peruntukan untuk menyiapkan serta menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo adalah tidak mencukupi namun kita akan tetap meneruskan pembinaan serta kerjakerja baik pulih mengikut keperluan negeri.

“Kita akan memberi tumpuan terhadap pembinaan serta kerja-kerja naik taraf di jalan-jalan yang diklasifikasikan sebagai kritikal bagi mengurangkan kesesakan serta kemalangan yang telah dikenal pasti oleh kerajaan,” jelasnya.

Menurutnya, beliau bukan sahaja akan memberi tumpuan kepada pembinaan dan menaik taraf Lebuh Raya Pan Borneo malah akan turut melaksanakan kerja-kerja naik taraf jalan di kawasan pedalaman.

“Secara keselurahannya, jumlah peruntukan yang diperlukan untuk membina serta menaik taraf jalan-jalan di negeri Sarawak pada tahun depan adalah RM2 bilion namun seperti yang saya nyatakan tadi ia akan dilaksanakan mengikut keperluan serta peruntukan yang diberikan,” kata Fadillah.