Lelaki naik kren ugut terjun bunuh diri

0

LOKASI lelaki terbabit memanjat kren berkenaan sebelum mengugut terjun.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dipercayai mengalami penyakit mental bertindak memanjat sebuah jentera kren setinggi 50 tingkat sebelum diselamatkan dalam satu kejadian di Bukit Bendera, di sini pada Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 petang itu menyaksikan lelaki berusia lingkungan 20an terbabit telah memanjat kren berkenaan dan menggugut untuk terjun membunuh diri.

Ahli keluarga dan para pekerja di situ yang turut berada di kawasan pembinaan berkenaan kemudiannya bertindak menghubungi polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Difahamkan keadaan bertukar cemas seketika apabila lelaki itu tetap berdegil enggan turun di situ meskipun dipujuk oleh pasukan keselamatan dan ahli keluarga. Bagaimanapun, dia kemudiannya mengalah lalu menuruni kren kerana dipercayai dahaga dan lapar.

Ketika dihampiri oleh pasukan keselamatan, warga asing terbabit kemudiannya bertindak ganas dan cuba mencederakan orang ramai menggunakan sebatang paip besi.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan kira-kira 30 minit kemudian sebelum digegaskan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

‘Lelaki terbabit telah dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.