Warga Indonesia maut terbabit nahas

0

Beberapa anggota polis sedang mengangkat mayat mangsa di lokasi kemalangan terbabit.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Indonesia terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit nahas dengan sebuah kereta Lexus, dalam kejadian di Bulatan Dambai, Jalan Tuaran Lama dekat sini petang kelmarin.

Mangsa yang hanya dikenali Yus, 30an, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepalanya dalam insiden berlaku sekitar jam 5.20 petang itu.

Dipercayai ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave itu sedang menuju ke Tebobon dari Inanam.

Setibanya di lokasi terbabit, motosikal mangsa telah bergesel dengan sebuah kereta Lexus yang dipandu oleh seorang wanita, 28, dan secara kebetulan keluar simpang dari Kampung Dambai menghala ke Kampung Kaliangau, Menggatal.

Impak daripada pelanggaran itu, mangsa dikatakan tercampak ke cermin hadapan kenderaan itu sebelum terjatuh ke atas jalan raya.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurut beliau mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses tindakan lanjut dan bedah siasat.

“Kita meminta kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan ini untuk segera tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.