MoU bernilai RM16 juta dimeterai tingkat pengurusan hutan mapan

0

KOTA KINABALU: Ke arah pembangunan hutan mapan dan rendah karbon di negeri ini, satu perjanjian persefahaman (MoU) dimeterai antara Jabatan Perhutanan Sabah dan European United (UE) sebagai langkah menjayakan matlamat berkenaan.

MoU berkenaan melibatkan kerjasama pelaksanaan program Mengatasi Perubahan Iklim Melalui Pengurusan Hutan Mapan dan Pembangunan Komuniti (Tackling Climate Change Through Sustainable Forest Management and Community Development) yang bernilai RM16 juta.

Dalam masa yang sama, kedua-dua pihak juga dapat bekerjasama menerusi strategi mengurangkan gas rumah hijau daripada degradasi dan pembukaan hutan (REDD+).

Program berkenaan secara khusus akan memfokuskan komuniti di tiga kawasan iaitu Kampung Gana, Kinabatangan dan Kinabalu.

Jabatan Perhutanan Sabah diwakili oleh pengarahnya, Datuk Sam Manan manakala EU diwakili oleh Duta merangkap Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Luc Vandebon dalam majlis menandatangani MoU itu di sini kelmarin.

Sam dalam ucapannya berkata program berkenaan diadakan menepati keperluan di Sabah sekaligus menyokong usaha REDD+.

“Usaha ini turut membantu kita untuk menjalin kerjasama dengan komuniti tempatan secara efektif dalam pengurusan dan pemulihan hutan.

“Saya percaya pelaksanaan program ini juga akan meningkatkan kemampuan kita untuk membangunkan serta melaksanakan perancangan di bawah strategi REDD+,” katanya.

Menurutnya kemampuan institusi di bawah kerajaan negeri juga dapat dipertingkatkan di samping membentuk sistem dan peralatan yang sesuai untuk mencipta dan melaksanakan strategi REDD+.

Selain itu jelasnya, aktiviti yang dijalankan akan memperkukuhkan lagi jalinan bersama komuniti dalam perlindungan hutan dan pengurusan hutan mapan.

Sementara itu, Luc berkata pelaksanaan projek pertama EU di Sabah itu bertepatan dengan isu-isu seperti perubahan iklim, pengurusan hutan mapan dan pembangunan komuniti di negara ini.

Tambahnya, golongan pakar EU akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perhutanan, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah, dan beberapa agensi kerajaan serta organisasi berasaskan komuniti dalam menjayakan program terbabit.