Jumlah ketua isi rumah miskin di Lundu naik 16%: Azmi

0

LUNDU: Jumlah ketua isi rumah miskin yang berdaftar di bawah program e-Kasih bagi daerah ini meningkat 16 peratus kepada 3,099 bagi tempoh Januari hingga November 2013.

Bagaimanapun, menurut Pegawai Daerah Lundu, Azmi Bujang jumlah miskin tegar dan mudah miskin menunjukkan trend yang menurun selepas separuh kedua tahun ini.

Trend menurun ini, adalah hasil daripada kesedaran yang tinggi dalam kalangan ketua isi rumah sama ada miskin tegar dan mudah miskin untuk mengambil peluang daripada bantuan yang disediakan oleh kerajaan bagi meningkatkan pendapatan masing-masing, jelasnya.

“Kejayaan usaha mendaftar ketua isi rumah miskin di bawah program e-Kasih banyak didorong oleh pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan serta kesedaran yang tinggi dalam kalangan ketua isi rumah miskin sendiri selain aksesibiliti yang mudah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Business Macthing Program 1AZAM Tahun 2014 Daerah Lundu yang berlangsung di Dewan Masyarakat di sini, semalam.

Selain kejayaan mendaftar e-Kasih, katanya, Pejabat Daerah Lundu juga berjaya mencapai sasaran bancian iaitu 526 melebihi sasaran 472 yang ditetapkan pada awal tahun.

Daripada 526 bancian, seramai 76 ketua isi rumah miskin berjaya ‘diputihkan’ terdiri daripada yang telah meninggal dunia, berpindah daerah dan ahli isi rumah bertukar kepada ketua isi rumah miskin.

Mengulas mengenai program bantuan rumah pula, Azmi berkata, sebanyak 133 unit rumah bantuan rakyat telah dibaik pulih dan dibina baharu bagi tahun ini yang dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama membabitkan 16 unit rumah bina baharu dan 62 unit rumah baik pulih yang mana telah siap kesemuanya, manakala fasa kedua masing-masing melibatkan tambahan 27 unit rumah bina baharu dan 28 unit rumah baik pulih yang mana masih dalam proses pelaksanaan.

Bercakap mengenai Program 1AZAM pula, Azmi berkata, Pejabat Daerah Lundu merupakan pejabat tunggal yang melaksanakan business matching secara karnival sejak tahun 2009.