Imam Masjidil Haram imamkan solat Jumaat di PWTC

0

KUALA LUMPUR: Imam Masjidil Haram, Mekah, Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamdi semalam meng-imamkan solat Jumaat yang berlangsung di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, yang disertai kira-kira 3,000 jemaah termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Para jemaah kebanyakannya perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2013 yang berlangsung di PWTC sejak Isnin.

Bacaan Qunut Nazilah turut diadakan bagi mendoakan agar banjir yang melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Melaka segera reda serta memohon keselamatan untuk mangsa-mangsa banjir.

Turut menunaikan solat Jumaat di situ ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha.

Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamdi turut mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Perdana Menteri dan pemimpin lain untuk terus memimpin Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang aman.

Dalam khutbahnya bertajuk ‘Mencintai Keluarga Al-Bait dan Sahabatnya’ (keluarga Rasulullah dan sahabatnya) beliau berkata Malaysia merupakan negara contoh terbaik dalam me-laksanakan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan bagi mencapai perpaduan ummah.

Kandungan khutbah diterjemahkan oleh penterjemah Datuk Mahmud Abdul selepas selesai solat.

Dalam khutbah itu, Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamdi berharap Malaysia akan terus bersama Arab Saudi melaksanakan wasatiyyah bagi membolehkan agama Islam terus berkembang subur di seluruh dunia dan dunia kekal aman makmur.

Beliau berkata wasatiyyah membolehkan perpaduan antara umat Islam di dunia semakin kukuh seterusnya menangkis serangan musuh Islam yang mahu umat Islam di seluruh dunia berpecah-belah.

Katanya fahaman ekstrem dalam agama Islam tidak sepatutnya dicontohi kerana mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan umat Islam di samping memberi tanggapan negatif kepada agama itu.

Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamdi yang diberi gelaran Imam Al-Haramain kerana pernah menjadi imam di masjid-masjid utama termasuk Masjid Nabawi, Masjid Quba dan Masjid Qiblatain, juga merupakan pensyarah Universiti Umm Al-Qura di Makkah selepas lulus cemerlang daripada universiti itu hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah.

Beliau antara tetamu antarabangsa yang dijemput menghadiri perhimpunan agung UMNO tahun ini. — Bernama