KPI gender untuk tingkat penyertaan wanita di sektor awam dan swasta

0

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mencadangkan agar setiap agensi awam dan swasta memperkenalkan petunjuk prestasi utama (KPI) berkaitan gender sebagai pengukur penyertaan golongan wanita di institusi masing-masing.

Exco sayap itu Datuk Noraini Ahmad berkata dengan adanya KPI berkenaan, dasar kerajaan memastikan 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat dasar dalam kedua-dua sektor terbabit boleh dicapai dengan segera.

“Dasar kerajaan memang baik tapi sampai sekarang belum tercapai. Macam menunggu buah yang tak gugur. Wanita harap perkara ini dapat dilihat,” katanya ketika membahaskan usul ucapan presiden Umno pada perhimpunan agung parti itu, di sini semalam.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong itu juga mahu penglibatan wanita Melayu dan bumiputera sebagai pembuat dasar di sektor awam dan swasta diberi perhatian agar mereka tidak tercicir.

Untuk permulaan, beliau mencadangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil sekurang-kurangnya dua wanita sebagai anggota lembaga pengarah.

“Kalau GLC tak boleh bantu UMNO dan Barisan Nasional (BN), siapa lagi?” katanya disambut sorakan daripada perwakilan dan pemerhati yang berada di dalam dewan perhimpunan.

Dalam perbahasan yang memfokuskan kepada usaha memperkasa wanita itu, beliau turut mencadangkan supaya undang-undang waktu kerja anjal diperkemas agar lebih ramai golongan terbabit menyertai sektor pekerjaan.

Memetik laporan ‘Malaysian Economic Monitor 2012’ yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, beliau berkata kadar penyertaan wanita negara ini di pasaran kerja hanyalah 47 peratus, berbanding negara jiran seperti Singapura (60 peratus) dan Thailand (70 peratus).

Katanya kadar itu juga lebih kecil berbanding 67 peratus jumlah pelajar wanita di institusi pengajian tinggi.

Dalam memastikan setiap anggota parti berdaftar sebagai pengundi pula, Noraini mencadangkan satu jabatan khas berkaitan daftar pemilih ditubuhkan di ibu pejabat UMNO dan bahagian. — Bernama