Saksikan Rakaman Pentas Krismas di Permy Mall esok

0

MIRI: Perkhidmatan Kenyah MiriFM akan menganjurkan rakaman persembahan Pentas Krismas 2013 di Pasar Raya Permy Mall pada 8 Disember ini dari jam 2 petang hingga 5.30 petang.

Rakaman Pentas Krismas 2013 tersebut kelak akan bersiaran pada 23 Disember ini, dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari pada tarikh tersebut menerusi Perkhidmatan Kenyah, Radio MiriFM.

Ini merupakan Pentas Krismas kali kedua anjuran Perkhidmatan Kenyah bersama Kelab Sosial RTM Miri dengan kerjasama pihak pengurusan Pasar Raya Permy Mall.

Rakaman persembahan ini kelak turut melibatkan artis-artis jemputan seperti Diana Nini, Jeremy Tingang Anthony, Olivia Peter dan Christina Bulan Epoi.

Pada tahun ini, pihak penganjur turut menjemput Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Miri untuk membuka kaunter bagi pendaftran ahli-ahli baharu, selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan masyarakat memartabatkan budaya membaca.

Mereka yang berminat untuk menjadi ahli Pustaka boleh mendaftar sebagai ahli dengan bayaran sebanyak RM1 sahaja semasa aktiviti diadakan.

Mereka yang mendaftar akan diberi hadiah misteri seterusnya melayakkan mereka untuk menyertai kuiz sepanjang Pentas Krismas ini berlangsung.

Sementara itu, orang ramai dialu-alukan untuk datang beramai-ramai bagi menyaksikan rakaman tersebut.