Beberapa kawasan di Sarikei dinaiki air

0

SARIKEI: Pertembungan air pasang besar serta faktor hujan yang kerap serta lebat di kawasan Sungai Rajang sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa tempat rendah di bandar Sarikei dinaiki air, malam kelmarin.

Sungguhpun kejadian ini tidak mendatang musibah teruk kepada pemilik premis di sini, namun ia cukup membuatkan sesetengah pemilik premis perniagaan berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Peniaga, Ling Hung Chew, 56, berkata, jika dibandingkan dengan kejadian serupa pada tahun lala bulan yang sama, kejadian pada kali ini tidaklah teruk sangat.

“Namun, jika dibandingkan kadar kerugian yang ditanggung saya sendiri berikutan kejadian pada kali ini berbanding pada tahun lalu, tahun ini lebih besar.

“Ini kerana, tahun lalu saya sedar akan masalah ini akan berlaku dan menyebabkan saya bersedia menghadapinya dengan menyusun serta meletakkan barangan yang mudah rosak apabila terkena air di tempat lebih tinggi dan selamat.

“Tetapi, pada tahun ini saya lalai sedikit dan saya mengetahui kejadian berlaku apabila salah seorang daripada kenalan memberitahu bahawa kedai saya telah dinaiki air,” katanya  ditemui sewaktu membersihkan sisa-sisa lumpur akibat banjir di kedainya, semalam.

Tambahnya, kejadian banjir pada malam kelmarin berlaku sekitar jam 9 malam dan antara barangan di kedainya yang rosak dan terjejas seperti beberapa kampit beras, produk makanan ternakan, tepung serta beberapa barangan lain.

Dalam kejadian tersebut, beberapa kawasan yang dinaiki air berikutan limpahan air beberapa parit utama di sekitar bandar adalah seperti di Jalan Wharf, Jalan Repok serta Jalan Bank.

Beberapa tempat rendah, paras air naik hingga ke paras lutut, khususnya berhampiran parit utama di Tebingan Rajang.

Sementara itu, bagi seorang peniaga lain yang hanya dikenali Ah Seng, 43, berkata, ramai peniaga di sekitar bandar ini tidak sedar kejadian itu berlaku.

“Ini kerana, kadar peratusan hujan turun di sini tidaklah seteruk mana, berbanding tahun lalu. Masalah ini berlaku mungkin disebabkan oleh jumlah hujan yang turun di bahagian Hulu Sungai Rajang agak lebat sejak beberapa hari lalu.

“Maka dengan faktor ini ramai masyarakat tidak peka dengan masalah berlaku. Namun, begitu kita bersyukur kejadian tidak berlaku pada lewat malam,” katanya.