Lapan kedai musnah terbakar

0

TRAK ‘Skylift’ digunakan untuk memadamkan api di tingkat atas kedai.

KOTA KINABALU: Sederet lapan unit kedai tiga tingkat di pekan Putatan, dekat sini, musnah dalam kebakaran pagi kelmarin.

Antara yang musnah termasuk sebuah restoran popular dengan hidangan `Soto Jawa’,  Restoran Taufik Hidayah, restoran terkenal dengan kari kepala ikan, Restoran OSK Curry House, serta kedai kain dan tilam, sebuah stor permaidani, sebuah farmasi dan beberapa bilik sewa yang terletak di tingkat atas bangunan kedai berkenaan.

Api dikatakan bermula dari salah sebuah premis perniagaan kira-kira 10.30 pagi sebelum merebak ke premis bersebelahan.

Menurut seorang saksi, Nordina Basaruddin, 15, dia berada di sebuah kedai berhampiran apabila melihat asap keluar dari satu unit kedai di blok bangunan tiga tingkat itu.

“Saya kemudian memberitahu salah seorang kakitangan di Restoran OSK Curry House sebelum kami mula menjerit dan memberitahu semua orang ramai untuk keluar dari bangunan itu,” katanya yang bekerja di sebuah kedai menjual cakera padat berdekatan.

Katanya, semua orang yang berada di dalam restoran serta kedai kain dan tilam di tingkat paling bawah bangunan itu kemudian bergegas meninggalkan premis berkenaan.

Menurut Nordina, sejurus kebakaran itu disedari, orang ramai mula datang membantu mengeluarkan tilam serta permaidani daripada kedai kain dan tilam sebelum pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba.

Sementara itu, Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Hamsa Isnurdini berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.45 pagi sebelum menggegaskan lima jentera dari balai bomba Penampang dan Kota Kinabalu serta bantuan pasukan bomba tentera dengan kekuatan 45 anggota. Turut membantu sebuah trak ‘Skylift’ bomba.

“Kami menghadapi sedikit kesukaran ketika memadamkan api kerana api marak di dalam bilik stor kedai kain dan tilam itu,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Katanya, pihaknya dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke unit kedai bersebelahan sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1.30 tengah hari.

Hamsa berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan bomba.