JPNS bekerjasama dengan JPN bantu pelajar tercicir tahun hadapan

0

JAME (dua kiri) dan Abu Bakar (dua kanan) ketika melihat Facebook Rasmi Pejabat Pengarah.

KOTA KINABALU: Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) akan bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan dan membantu anak-anak yang tercicir dalam pendidikan khususnya di luar bandar.

Pengarah JPNS, Datuk Jame Alip, berkata pihaknya akan melaksanakan satu program turun padang ke seluruh pelusuk negeri ini sebagai salah satu tansformasi jabatan.

“Kita akan melaksanakan satu program yang dinamakan sebagai Cari dan Bantu dengan kerjasama JPN bermula tahun depan yang disasarkan kepada golongan luar bandar yang tertinggal atau terlepas pandang untuk mendapat pendidikan sewajarnya.

“Dalam konteks pendidikan, ada anak-anak yang tidak bersekolah, tercicir di peringkat rendah mahupun menengah, kita akan mencari sebab dan membantu mereka untuk bersekolah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Facebook Pejabat Pengarah JPNS di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan dan turut dihadiri Timbalan Pengarah JPNS, Maimunah Suhaibul dan Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Mohd Zaini Yanin.

Jame berkata pihaknya turut mendapati ramai kanak-kanak khususnya di luar bandar tidak dapat bersekolah berikutan masalah dokumen tidak sah selain tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan yang dikeluarkan JPN.

Katanya JPNS dan JPN akan segera menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin dan pihaknya memilih Keningau sebagai lokasi pertama untuk melaksanakan program Cari dan Bantu.

Terdahulu, Abu Bakar ketika berucap berkata usaha pemantapan kualiti perkhidmatan perlu dilakukan dengan mengambil kira pandangan masyarakat umum terhadap isu pendidikan semasa.

Katanya inisiatif JPNS mewujudkan laman sosial Facebook bertepatan dengan era ledakan teknologi terkini yang terbukti berkesan merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat.

“Melaluinya pelbagai pandangan daripada rakyat dapat disalurkan tanpa melalui karenah birokrasi yang sering menghampakan pengadu.

“Saya berharap JPNS akan dapat mengambil tindakan respon atau cadangan daripada klien melalui laman sosial Facebook dengan cepat dan tepat,” katanya.