Indek jenayah turun 4.5 peratus

0

HAMZA (dua kanan) meneliti salah satu aset pemusnah bom yang dipamerkan sempena program di Pekan Donggongon kelmarin.

PENAMPANG: Indeks jenayah di Sabah mencatat penurunan 4.5 peratus sepanjang tempoh Januari hingga November lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, ketika memberi perangkaan itu kelmarin berkata jika prestasi berkenaan kekal sehingga akhir tahun ini,  maka Sabah akan mencatat penurunan indeks jenayah untuk empat tahun berturut-turut sejak 2010.

Sehubungan itu, katanya, polis Sabah terus memperhebat usaha menurunkan kadar jenayah di negeri ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh 11 bulan, jenayah pecah rumah mencatatkan penurunan sebanyak 2.21 peratus, manakala bagi pendakwaan kes pula dilihat meningkat kepada 55 peratus dalam tempoh berkenaan.

“Ini menunjukkan kita berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri (NKRA) dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan.

“Kejayaan penurunan seumpama itu dilihat berhasil daripada kerjasama orang ramai berhubung aktiviti jenayah selain pelbagai aktiviti atau program kemasyarakatan yang telah dianjurkan oleh polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Community Policing Fear Of Crime anjuran Pusat Latihan Polis (Pulapol) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Pekan Donggongon, di sini kelmarin.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Malek Harun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Omar Mamah dan Komandan Pulapol, Superitendan Mohd Azhar Hamin.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Hamza berkata, ia langkah proaktif polis mendekatkan diri dengan masyarakat dalam aspek jenayah yang berlaku di kawasan mereka khususnya di daerah Penampang.

“Melalui program sebegini, secara tidak langsung masyarakat ramai akan terdedah dengan pelbagai sumber atau maklumat dalam usaha memerangi aktiviti jenayah,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hamza berkata dari Januari hingga November tahun ini, daerah Penampang merekodkan 661 kes jenayah berbanding 672 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.