Infra anjur seminar khas bagi memberi pendedahan

0

KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Institut Kemajuan Desa Sabah (Infra) menganjurkan seminar khas bagi memberi pendedahan kepada bakal usahawan muda.

Pengarah Infra Sabah, Hashim Alang Abdul Hamid berkata seminar khas berkenaan bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada para belia usahawan mengenai pertandingan Jelajah Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) yang akan berlangsung tahun hadapan.

Menurutnya seminar berkenaan berjaya menarik penyertaan sebanyak 250 belia usahawan yang mana kuota yang disediakan hanyalah 200 orang.

“Menerusi seminar ini, kita akan beri pendedahan yang lebih besar mengenai pertandigan RBC, ini kerana sebelum ini kita dapati para belia usahawan tidak mendapat mendapat informasi dan pendedahan yang sepenuhnya.

“Selain itu, seminar ini juga lebih kepada memberitahu para usahawan belia luar bandar supaya terlibat dengan program-program di bawah pekerjaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) berkenaan keusahawan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Transformasi Belia Desa, Jelajah Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) Zon Sabah 2013, di sini, kelmarin.

Majlis disempurnakan wakil Bahagian Pengupayaan Ekonomi KKLW, Zaflin Pakwanteh.

Hashim berkata dengan penyertaan sebanyak 250 orang pada seminar itu, pihaknya berharap agar para peserta mampu memenangi pertandingan RBC pada penyertaan tahun hadapan.

“Hadiah bagi pertandingan RBC terbahagi kepada beberapa kategori antaranya RBC Cemerlang, RBC Jaya dan RBC Harapan selain tawaran hadiah utama iaitu berjumlah RM2 juta.

“Sejak penganjuran RBC yang bermula pada tahun 2012, kita telah berjaya memperoleh tujuh orang pemenang selaku peserta wakil Sabah bagi kategori RHB Harapan.

Beliau berkata pada pertandingan akan datang beliau berharap agar belia usahawan Sabah berjaya mengemukakan rancangan perniagaan yang telah dinilai di peringkat KKLW sekaligus merebut hadiah tempat pertama.