PC Fair 2013 jadi tumpuan pengunjung

0

SANDAKAN: PC Fair 2013 oleh Harbour Mall Sandakan yang bermula kelmarin, menjadi tumpuan pengunjung yang berminat untuk mendapatkan produk IT dan gajet elektronik terkini.

Berlangsung bermula 12 hingga 15 Disember di Tingkat 3, Harbour Mall Sandakan, PC Fair itu menyediakan pelbagai pilihan barangan berteknologi untuk kegunaan peribadi dan operasi perniagaan termasuk telefon pintar, komputer riba, tablet, PC desktop, gajet serta produk perisian.

Majlis perasmian PC Fair 2013 berkenaan telah disempurnakan oleh Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Ir James Wong.

Berucap pada majlis itu, beliau mengalu-alukan penganjuran PC Fair berkenaan yang menyediakan pelbagai pilihan barangan berasaskan elektronik dan teknologi maklumat kepada para pengunjung.

Katanya bidang IT berkembang pesat sejak beberapa tahun lepas dan saban hari pelbagai gajet terbaharu terdapat di pasaran yang membolehkan orang ramai memperbaiki pengetahuan dalam pelbagai aspek.

Sementara itu, Pengarah Urusan ICSD Ventures Sdn Bhd, Lai Voon Hon berkata tingkat 3 Harbour Mall Sandakan akan dibangunkan sebagai pusat IT yang terbesar dan pertama di daerah ini.

Pusat sehenti itu yang dijangka dibuka pada tahun depan akan memberi kemudahan kepada para pengunjung dan pelancong yang berminat untuk mendapatkan barangan IT di bawah satu bumbung.

Lebih daripada 25 pengusaha menyertai PC Fair berkenaan termasuk Multiplus Computing Sdn Bhd, M.H.I. Teleshop, Maxis, Coway, Astro, Gintell, Ninetology, Redtone, Istimewa Foto, RedOne Telco, Syarikat Great Wall, Encore Mobile Technology, Friendi Telco, U Mobile Telco, Story Moment Photography dan Persatuan Laskar Hitam Putih.

PC Fair itu turut menyediakan ruang pameran Galleria Foto yang menampilkan hasil kerja 14 peminat fotografi dalam pelbagai tema termasuk landskap dan alam semula jadi, haiwan, potrait dan seni jalanan.

Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Besar Kanan Harbour Mall Sandakan, Dato’ Mohan R Karthigasu, Pengarah Bahagian Pembangunan MPS, Vun Shoon Chong serta mantan Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Lau Ngan Siew.