Pemuda 19 tahun dipenjara 16 tahun, 10 sebatan

0

TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan 10 sebatan ke atas seorang pemuda berusia 19 tahun yang mengaku bersalah terlibat dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata.

Hakim Amelati Parnell membuat keputusan itu terhadap Hendra Junaidi menerusi dua pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan mengarahkannya supaya menjalani kedua-dua hukuman secara berasingan.

Pertuduhan pertama, Hendra dihukum penjara tujuh tahun dan lima sebatan atas kesalahan merompak Kedai Serbaneka 24 Jam Taman Bintang pada 23 November lepas kira-kira jam 4.40 pagi bersama empat lagi rakannya serta dua yang masih bebas.

Hendra dan rakannya didakwa memecahkan pintu berkunci premis terbabit serta mengacukan senjata tajam kepada juruwang dan pekerja kedai berkenaan sebelum mengambil peti simpanan berisi wang tunai.

Mereka juga didakwa mengambil tiga telefon bimbit jenama Samsung Galaxy Tab, Sony Experia dan Nokia selain sebentuk cincin emas, kad isi semula Celcom dan Maxis serta sebuah beg sandang berisi wang tunai dan dokumen pengenalan diri.

Pertuduhan kedua pula, Hendra dihukum penjara sembilan tahun dan lima sebatan atas kesalahan merompak wang tunai berjumlah RM3,500 bersama dua rakannya iaitu Darwis Damos, 26, dan Mohd Syukur Abdul Halim, 20 di lokasi sama.

Ketiga-tiga mereka didakwa merompak wang milik mangsa, Abdul Kahar Amin pada 19 November lalu kira-kira jam 3.40 pagi menggunakan senjata berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan iaitu parang.

Pihak polis memberkas Hendra pada 30 November lepas kira-kira jam 2.45 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di Kg Kongsi 8, Jalan Kubota di sini sementara Darwis dan Syukur pula masing-masing dipenjarakan selama tujuh tahun dan lima sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamalia Yahdi.