Wanita sakit dada dalam pesawat meninggal di LTAK

0

KUCHING: Sebuah pesawat AirAsia yang dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Pulau Pinang terpaksa membuat pendaratan kecemasan selepas seorang daripada penumpangnya mengadu mengalami sakit dada, petang semalam.

Penumpang tersebut yang dikenali sebagai Annie Dunlop berusia 71 tahun dan berasal dari Sandakan, Sabah bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tujuan bedah siasat.

Difahamkan, mangsa menaiki penerbangan menggunakan pesawat tersebut menuju ke Pulau Pinang pada jam 1.20 petang dan dijadual mendarat di Pulau Pinang pada jam 4 petang.

Bagaimanapun, mangsa mengadu mengalami sakit dada memaksa pendaratan kecemasan dilakukan di LTAK sekitar jam 2.50 petang sebelum dia disahkan meninggal dunia selepas itu.