Pemain kriket Muhamad Syahadat terima anugerah Perajurit Muda Terbaik TUDM

0

IPOH: Ketua pasukan kriket bawah 19 tahun kebangsaan, Muhamad Syahadat Ramli dipilih sebagai penerima anugerah Perajurit Muda Terbaik keseluruhan pada upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Siri 49/2013 di Institut Latihan Tentera Udara di sini, semalam.

Beliau yang berasal dari Kluang, Johor dipilih menerima anugerah itu berdasarkan kebolehan dan kesungguhan dalam aspek kepimpinan, penglibatan dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang tempoh latihan itu.

Muhamad Syahadat, 19, berkata semasa latihan, beliau sentiasa berdisiplin dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

“Pada mulanya agak sukar apabila berhadapan dengan disiplin yang ketat tetapi bila setiap hari, ia sudah jadi kebiasaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara Tan Sri Rodzali Daud.

Muhamad Syahadat yang aktif bermain kriket sejak berumur 10 tahun berkata cita-citanya sejak dari kecil adalah untuk menjadi anggota tentera selain mendapat galakan dan semangat daripada ibu bapanya.

Anak ketiga dari enam beradik itu berazam untuk menjadi anggota TUDM yang terlatih, berwawasan, tegas dan berdisiplin tinggi serta sedia berkorban untuk tanah air tercinta.

Selain Muhamad Syahadat, Muhammad Akram Mustapha Kamal, 22, dipilih sebagai penerima anugerah Perajurit Akademik Terbaik dan Mohamad Amirul Azman, 21,  menerima anugerah Perajurit Muda Penembak Terbaik.

Pada majlis itu, seramai 323 perajurit muda tamat latihan selepas menjalani kursus lima bulan bermula Julai lepas.

Terdahulu, Rodzali menerima tabik hormat perbarisan anggota perajurit muda dan menyampaikan hadiah kepada kumpulan terbaik iaitu Flait Delta.

Dalam ucapannya, beliau berkata TUDM sedang giat melaksanakan transformasi untuk mencapai visi menjadi ‘menjadi kuasa udara yang dominan’.

“Justeru itu, pendekatan ‘Tentera Udara-Generasi Masa Depan’ merupakan transformasi yang dilakukan untuk mencapai visi tersebut.

“Ini akan memperlengkapkan persediaan TUDM ke arah organisasi yang lebih ‘resilient’, anggota yang bermotivasi tinggi dan memiliki keupayaan,” katanya.

Katanya kesemua hasrat itu akan tercapai melalui pemantapan doktrin yang relevan dengan keperluan semasa serta akan datang.

Rodzali berkata berdasarkan keseluruhan objektif itu, setiap latihan yang dilalui oleh perajurit  perlu mempunyai kualiti tinggi dan menepati kehendak organisasi.

“Setiap kurikulum dan teknik latihan sentiasa dikemas kini  agar ianya sentiasa sesuai dan relevan dengan dasar yang telah ditetapkan oleh organisasi agar satu standard piawaian yang tinggi dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata penggunaan alat bantuan mengajar yang berteknologi tinggi mampu juga memberikan kesan yang positif terhadap corak pembelajaran dan mampu membina daya intelektual generasi TUDM yang baru tamat latihan itu. — Bernama