Bandar Baharu Sibujaya digemari ramai

0

SIBU: Kemajuan serta perancangan pembangunan sistematik yang dilaksanakan di Sibujaya berjaya menarik penduduk Sibu datang mendiami bandar baharu itu.

Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sibujaya adalah kawasan perumahan yang baharu dan moden.

Ini secara tidak langsung menyebabkan bandar baharu itu digemari ramai sehingga menjadi kawasan paling cepat berkembang maju.

“Banyak kemajuan dan rancangan pembangunan dilaksanakan dan telah dilaksanakan di Sibujaya dan keadaan itu berjaya  menarik orang ramai untuk tinggal di sini,” kata pada Majlis Penutupan Pertandingan Tilawah Al-Quran 2013 anjuran Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di Dewan Serba Guna Sibujaya, di sini malam kelmarin.

Menurut beliau, kejayaan HDC membangunkan Sibujaya juga berjaya menarik kira-kira 5,000 masyarakat Islam tinggal di situ.

“Walaupun tidak ramai masyarakat Islam yang tinggal di Sibujaya, tetapi mereka dapat tinggal dalam keadaan aman dan damai bersama masyarakat lain.

“Justeru, HDC perlu mencari pendekatan lebih baik untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan di kalangan penduduk yang terdiri daripada pelbagai agama di Sibujaya,” katanya.

Menyentuh mengenai penganjuran tilawah itu, Abdul Karim berkata ia dapat mengukuhkan hubungan kalangan peserta dan penduduk yang tinggal di Sibujaya khususnya.

“Acara ini adalah salah satu program tahunan HDC bertujuan memupuk semangat integrasi antara komuniti yang tinggal di kawasan perumahan HDC di seluruh Sarawak,” katanya.

Pada tahun ini, acara tersebut dianjurkan dengan kerjasama Masjid Darul Husna Sibujaya.

Seramai 46 peserta dari kawasan perumahan HDC dari Kuching, Miri dan Sibu menyertai tilawah itu.

Turut hadir Pengerusi HDC Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen dan Pengerusi Masjid Darul Husna Sibujaya Jamil Akim.