100 rumah jadi abu

0

DETIK-DETIK cemas yang berlaku semasa api mula ‘menyambar’ dan memusnahkan kediaman penduduk terlibat.

 Lebih 600 penduduk terjejas, kebakaran terburuk di Tawau tahun ini

TAWAU: Lebih 600 penduduk Kg Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas dan sekitarnya terjejas dalam kebakaran kira-kira jam 9 pagi kelmarin yang menyaksikan lebih 100 kediaman hangus sama sekali, sekaligus menjadikannya kes terburuk di Tawau tahun ini.

Mengikut rekod bertulis pihak Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Balung, sehingga jam 2 petang kelmarin seramai 177 ketua keluarga mendaftar dan tampil membuat aduan rumah mereka turut terjejas di dalam insiden kebakaran terbabit.

Utusan Borneo difahamkan kebakaran itu melibatkan 10 blok rumah panjang 80 pintu (Blok A hingga Blok J) di Kg Kurnia Jaya selain rumah-rumah setinggan yang didirikan di kawasan berhampiran dengannya.

Saksi di lokasi kejadian mendakwa dua lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an turut dihantar ke hospital akibat tercedera selepas terjatuh, masing-masing dari bumbung rumah semasa menyiram air dan dari jambatan roboh.

Seorang mangsa, Latif Maha, 50, buruh kasar, berkata keadaan menjadi kelam-kabut semasa kebakaran berlaku menyebabkan penduduk di kawasan itu berasak-asak di jambatan menuju ke jalan raya untuk menyelamatkan diri.

“Situasi amat genting pada masa itu, dan untuk menyelamatkan diri juga saya sekeluarga terpaksa bersesak dengan orang lain melalui kawasan jambatan (rumah-rumah di lokasi kejadian dihubungkan menerusi titian kayu yang dijadikan sebagai laluan utama),” katanya.

Mengulas lanjut Latif berkata pada mulanya beliau berasa pelik melihat penduduk di kawasan itu bertempiaran-lari dalam keadaan kelam-kabut dan suasana bertambah panik apabila orang ramai menjerit ‘terbakar! terbakar!’.

Beliau yang sedang berehat di kaki lima pada masa itu cuba memerhatikan kawasan sekeliling untuk memeriksa keadaan, namun tidak melihat ‘api’ yang dimaksudkan oleh orang ramai yang berlari tergesa-gesa di hadapan rumahnya.

“Bagaimanapun, selepas memasuki rumah dan membuka jendela dapur untuk memastikan keadaan sebenar, saya terkejut apabila mendapati api begitu hampir dengan rumah dan asap pula sudah mula berkepul-kepul memenuhi ruang rumah saya.

“Tanpa membuang masa, saya terus mengarahkan isteri yang sedang membasuh kain supaya mengambil dokumen penting untuk dibawa keluar dan mengejutkan dua anak yang masih tidur selain seorang anak saya yang sudah berjaga pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata selepas mengambil dokumen penting yang sempat ditemui, mereka sekeluarga terus bergegas keluar meninggalkan rumah sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri sebelum api mula marak di kediaman mereka.

Mengulas mengenai detik-detik cemas yang dihadapinya, ayah kepada enam anak itu berkata kebakaran terbabit berlaku sekelip-mata dan beliau mengaku masih terkejut serta sukar melupakan saat api mula ‘menyambar’ dan memusnahkan rumahnya.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzex, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.05 pagi dan tiba di lokasi kejadian selang enam minit kemudian dengan kekuatan 30 anggota, tiga jentera dan dua utiliti.

“Kita sukar mengawal kebakaran ekoran angin bertiup kencang, kedudukan rumah yang rapat-rapat dan cuaca panas terik,” katanya sambil mendedahkan situasi itu memaksa pihaknya mengambil masa selama empat jam untuk menamatkan operasi.

Selain orang awam dan penduduk kampung yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, bantuan dan kawalan di lokasi kejadian turut diperolehi daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan pihak polis.