Lori terjunam dalam sungai

0

Lori terbabit berjaya dinaikkan menggunakan sebuah jentera kren di tempat kejadian.

Pemandu berjaya selamatkan diri, rakan dikhuatiri lemas

PENAMPANG: Perjalanan pulang ke rumah bertukar tragedi apabila seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas lori setengah tan yang dinaiki bersama rakannya terbabas ke dalam sungai berhampiran Jalan Papar Lama, dekat sini pagi kelmarin.

Difahamkan dalam insiden sekitar jam 3.40 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Hafiz telah dihanyutkan oleh arus deras ketika kemalangan berkenaan berlaku.

Sementara rakannya yang juga pemandu lori itu, Macmellian Lim Chong An, 26, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai terbabit.

Terdahulu dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka yang terletak di Kampung Inobong, di sini, sebelum lori terbabit hilang kawalan lalu merempuh penghadang jambatan dan terjunam ke sungai di situ.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh berkata pihaknya masih melakukan operasi menyelamat mangsa yang hilang dalam insiden berkenaan.

“Pemandu lori itu juga telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya sambil menambah, pihaknya juga masih menyiasat punca sebenar kemalangan itu.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Affendy K Ramin berkata sepasukan anggota telah digegaskan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Kita telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden terbabit pada jam 3.41 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota telah bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Menurut beliau setakat petang kelmarin mangsa masih belum dapat ditemui dan operasi berkenaan dijangka disambung pada pagi hari ini.