Perkenal inovasi baharu kepada komuniti nelayan

0

KOTA KINABALU: Agensi penguatkuasaan diminta memperkenalkan inovasi baharu kepada komuniti nelayan bagi membantu dalam melindungi dan pengurusan positif sumber marin.

Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Ahamad Sabki Mahood berkata inovasi seperti ‘Turtle Excluder Device’ (TED) mampu membantu penyu dari ditangkap pukat tunda.

Menurutnya nelayan tempatan dan pukat tunda juga perlu digalakkan untuk menggunakan jaring bersaiz 38mm kerana ia akan membenarkan 20 peratus daripada benih ikan komersil terlepas.

“Jika ia ditangkap, mereka akan digunakan sebagai baja, tetapi jika ia terlepas, kita boleh menyimpan 75,000 tan metrik ikan perdagangan setiap tahun dan perkara ini harus dijelaskan kepada para nelayan,” katanya ketika ditemui pada Seminar of Coral Triangle Initiative (CTI) ‘Goal Five: Threatened Species Status Improving’ di sini, kelmarin.

Ahamad berkata kebanyakan nelayan tempatan menangkap ikan menggunakan alat yang tidak sesuai dan tidak mesra alam.

“Kita dapati kebanyakan mereka menggunakan jaring pukat bersaiz lebih kecil saiz dan ini mampu mendatangkan pelbagai masalah kelak khususnya berkaitan penjagaan terumbu karang atau habitat laut,” katanya.

Beliau berkata dalam perkara berkenaan bukan hanya pihak badan bukan kerajaan (NGO) sahaja yang terlibat dalam menjaga hasil CTI tetapi orang ramai juga harus memainkan peranan yang serupa.

“Kita mahu orang ramai sedar akan pentingnya menjaga dan melindungi sumber laut yang ada agar ianya terus terpelihara,” katanya.

Katanya kawasan tropika mempunyai beribu-ribu spesis ikan dan habitat lain, oleh itu adalah penting ianya terus dijaga.

Mengulas mengenai seminar berkenaan, Ahamad berkata ia adalah kali yang pertama diadakan dan akan berakhir pada 19 Disember.

“Pentingnya, seminar ini adalah untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat nelayan dan para pelajar betapa pentingnya penjagaan hidupan laut,” katanya.

Beliau berkata objektif seminar itu adalah untuk menyediakan platform awal untuk CTI dan negara-negara lain juga akan turut bekerjasama ke arah menjaga dan memelihara CTI.

Pada masa sama, beliau juga mencadangkan agar tempat spesis-spesis berkenaan yang dikategorikan terancam atau berbahaya dimasukkan dalam peta.

“Dengan cara ini, kita bukan sahaja boleh mengetahui kawasan mana serta spesies apa yang terancam malah kita juga mampu menangani masalah dan memahami isu itu,” katanya,

Dalam konteks Sabah, Ahamad berkata antara isu dan cabaran yang dihadapi oleh negara untuk mengekalkan sumber-sumber marin adalah seperti pencerobohan, pengeboman ikan, memancing sianida dan penggunaan alat-alat yang tidak mesra alam.

“Pencemaran dan penebusgunaan tanah juga akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Menurut beliau lebih separuh daripada habitat terumbu karang yang mana tiga per empat daripadanya dikenali sebagai dunia spesies karang yang ada rantau ini.

“Ia juga kaya dengan biodiversiti marin dengan lebih daripada 500 batu karang dan 5,000 spesies ikan.

“Malangnya, rantau ini berhadapan dengan pelbagai ancaman seperti pembangunan pantai yang tidak terancang, pencemaran, kaedah memancing yang tidak teratur, kemusnahan habitat serta perubahan iklim,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Rayner Stuel Galid.