Anggota polis culik kanak-kanak dirujuk ke hospital sakit mental

0

KOTA KINABALU: Anggota polis berpangkat rendah dipercayai kurang waras yang bertindak menculik seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan melarikan sebuah kereta pacuan empat roda di Kampung Bagiang, Kunak pada 15 Disember lalu, akan dirujuk ke hospital sakit mental.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata ini berikutan terdapat petunjuk bahawa suspek dikatakan mengalami penyakit kurang siuman ketika ditahan berhampiran Balai Polis Ulu Dusun Batu 30, di Sandakan pada Selasa lalu, selepas bertindak melarikan mangsa dalam insiden berkenaan.

“Masa suspek ditangkap dia dipercayai kurang siuman sedikit jadi kita tidak dapat pastikan motif sebenar insiden berkenaan.

“Tetapi kita ada prosedur di bawah prosedur jenayah di mana jika suspek dikenal pasti tidak mampu berfikiran waras maka perkara ini dirujuk ke hospital pakar sakit jiwa untuk mendapatkan laporan sama ada dia bermasalah atau tidak,” katanya.

Hamza berkata suspek berusia 33 tahun yang bertugas sebagai anggota polis di Negeri Sembilan itu dikatakan sedang bercuti di negeri ini sebelum insiden berkenaan terjadi.

“Dalam kejadian 15 Disember lepas itu, kereta pacuan empat roda yang dimiliki oleh pengadu telah dilarikan oleh suspek dan kebetulan di dalam kenderaan itu ada seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

“Bagaimanapun, kita berjaya menemuinya semula berhampiran sebuah lokasi di Sandakan,” katanya.

Hamza turut berkata kejadian terbabit sekaligus membuktikan pihaknya tidak berkompromi dalam penangkapan suspek meskipun individu itu adalah unit beruniform atau anggota polis.

“Sebagai polis, kita menjalankan tugas tanpa memilih warna, bulu, bangsa dan jantina. Undang-undang perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.