Pelihara keunggulan bahasa ibunda

0

MARCEL (dua kiri), Blasius (kiri) serta ahli jawatankuasa tertinggi KSS yang lain memegang kamus bahasa Kadazan yang baru dan lama.

KSS lancar kamus bahasa Kadazan 20 Disember

PENAMPANG: Persatuan Kadazan Sabah (KSS) buat julung kalinya akan melancarkan kamus bahasa Kadazan pada 20 Disember ini.

Presiden KSS, Datuk Marcel Leiking, berkata pelancaran kamus itu kepada masyarakat Kadazan di Sabah adalah penting dalam usaha memelihara keunggulan bahasa itu dalam kalangan generasi muda.

“Kamus ini pernah diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1958 oleh kerajaan Australia dan sejak itu ianya tidak lagi diterbitkan.

“Demi kelangsungan bahasa itu dalam kalangan Kadazan, kamus ini perlu diterbitkan untuk kegunaan generasi muda di negeri ini,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini kelmarin.

Marcel berkata KSS diwujudkan pada tahun 2006 dan semua kepimpinan persatuan ini bersetuju supaya satu kamus bahasa Kadazan diterbitkan.

Sementara itu, Pengarang Kamus Kadazan, Blasius Binjua berkata tempoh selama dua tahun diperlukan untuk melengkapkan sebuah kamus yang mempunyai sejumlah 420 muka surat itu.

“Kamus ini adalah berdasarkan edisi pertama yang diterbitkan oleh kerajaan Australia yang mana kamus ini pada masa itu hanya mempunyai 270 muka surat.

“Kamus ini mempunyai erti dari bahasa Inggeris kepada Kadazan, Kadazan kepada Inggeris, Bahasa Malaysia kepada Kadazan dan sebaliknya serta mempunyai penggunaan tatabahasa yang bersesuaian,” katanya.

Blasius tidak menafikan bahawa kamus yang diterbitkan itu bukanlah sempurna sebab terdapat banyak lagi perkataan dalam bahasa Kadazan yang tidak dapat diertikan dalam bahasa Melayu ataupun Inggeris.

Katanya terdapat dua jenis kamus yang dikeluarkan iaitu yang mempunyai kulit buku yang keras dan yang berkulit lembut.

“Kamus yang berkulit keras dijual pada harga RM50 manakala berkulit lembut RM30. Sehingga kini sejumlah 10,000 buah buku ditelah diterbitkan dan akan dijual selepas pelancaran pada 20 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata badan bukan kerajaan yang ingin membeli kamus itu dan menderma kepada sekolah-sekolah pilihan mereka juga dialu-alukan.

Pelancaran kamus bahasa Kadazan pada 20 Disember nanti akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merasmikan upacara bersejarah itu.