Pemeriksaan penempatan setinggan, 80 warga asing ditahan

0

TAWAU: Seramai 80 individu diberkas dalam Ops Bersepadu di dua penempatan setinggan Kg Vietnam dan Kg Sungai Buaya yang dijalankan selama tiga jam awal pagi Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah berkata mereka yang diberkas berumur 18 hingga 55 tahun melibatkan 50 lelaki dan 30 perempuan.

“Mereka yang ditahan didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan akan dirujuk kepada pihak Jabatan Imigresen,” katanya di sini kelmarin.

Menurut Awang operasi terbabit dijalankan dari jam 5 sehingga 8 pagi melibatkan kekuatan 10 pegawai dan 60 anggota yang menjalankan pemeriksaan ke atas 160 individu.

Beliau berkata kesemua 80 individu yang ditahan di dalam operasi berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita juga turut menahan tiga lelaki berumur 20 hingga 25 tahun yang didapati positif syabu dalam ujian air kencing yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menyentuh mengenai operasi itu juga, Awang mendedahkan Bahagian Penguatkuasa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut memutuskan bekalan elektrik di kawasan terlibat.

“Kira-kira 80 rumah setinggan dikesan berada di kawasan terbabit,” katanya sambil menyatakan operasi itu juga disertai Jabatan Imigresen dan Pasukan Sukarelawan Polis.

Awang berkata operasi bersepadu akan diteruskan dalam usaha untuk mencegah kehadiran warga asing tanpa dokumen sah dan membanteras kegiatan mencuri bekalan elektrik.

Menurutnya pihak berkuasa akan mengawasi kawasan-kawasan penempatan setinggan terlibat kerana kekerapan laporan kadar jenayah direkodkan di kawasan sedemikian.