Sabah catat keputusan terbaik PMR dalam tempoh lima tahun

0

KOTA KINABALU: Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 negeri ini merupakan keputusan PMR yang terbaik dari segi Gred Purata Negeri (GPN) dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN), Maimunah Suhaibul berkata dalam pencapaian PMR kali ini GPN yang diperoleh meningkat sebanyak 0.06 mata iaitu dari 3.01 pada tahun 2012 kepada 2.95 pada tahun ini.

Katanya secara keseluruhan kualiti pencapaian calon yang diukur dari segi pencapaian GPN menunjukkan peningkatan yang baik.

Daripada 36,990 orang calon PMR pada tahun ini, seramai 23,622 orang calon berjaya mencatat sekurang-kurangnya pencapaian gred D dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Jumlah kelulusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.82 peratus berbanding 62.04 peratus atau 23, 330 calon pada tahun 2012.

Walau bagaimanapun, terdapat penurunan daripada bilangan calon cemerlang, iaitu calon yang mendapat A dalam semua mata pelajaran adalah seramai 916 calon berbanding 922 calon pada tahun 2012. Ia menunjukkan penurunan sebanyak enam calon.

Secara keseluruhannya, 10 mata pelajaran menunjukkan peningkatan dari segi peratus lulus dan tiga mata pelajaran pula menurun dan satu mata pelajaran kekal peratusan lulus.

Antara mata pelajaran yang mencatatkan peningkatan peratusan yang tertinggi adalah Bahasa Arab iaitu daripada 69.9 peratus pada tahun 2012 kepada 86.2 peratus pada tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 16.3 peratus.

“Mata pelajaran kedua memperoleh peningkatan peratusan tertinggi adalah Bahasa Cina, yang meningkat sebanyak 3.9 peratus, daripada 82 peratus pada tahun 2012 kepada 85.9 peratus.

“Sementara itu, mata pelajaran yang menunjukkan penurunan yang ketara adalah Kemahiran Hidup Bersepadu-Kemahiran Teknikal yang menurun daripada 97.1 peratus paa tahun lalu kepada 96.4 peratus.

“Mata Pelajaran Bahasa Inggeris juga menurun daripada 68.3 peratus pada tahun 2012 kepada 68.1 peratus pada tahun ini,” katanya ketika mengumumkan keputusan PMR Tahun 2013, di SM Sains Sabah, di sini kelmarin.

Dari segi sekolah terbaik pula, Maimunah berkata terdapat 10 buah sekolah mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik di seluruh negeri.

Ia termasuklah SM Sains Lahad Datu; SM Sains Sabah; SMKA Kota Kinabalu; SM Islamiah Tawau; SMKA Tun Ahmad Shah; SMKA Mohd Ali, Ranau; SMKA Sandakan; SM ST. Michael Penampang; SMKA Tun Mustapha; dan SM All Saints.

Peperiksaan PMR telah berlangsung dari 2 hingga 9 Oktober tahun ini.

Pada sidang media, Maimunah berkata peningkatan pencapaian keseluruhan itu berikutan program-program yang dirancang JPN di peringkat negeri dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Antara program itu adalah Program Transformasi Daerah (DTP) yang mana Sabah merupakan perintis untuk program berkenaan.

“Program DTP itu juga termasuk dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya.

Ketika ditanya mengenai langkah JPN untuk memperbaiki keputusan tiga mata pelajaran yang menunjukkan penurunan dalam PMR 2013 ini, beliau berkata JPN akan menjalankan program secara berterusan bagi memastikan keputusan itu dapat ditingkatkan.

Katanya bermula tahun hadapan PMR akan digantikan dengan Penilaian Pentaksiran Menengah Rendah (PPMR) dan penilaian mata pelajaran akan dilakukan melalui sistem pentaksiran.

“Hanya terdapat empat mata pelajaran iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan mempunyai pentaksiran pusat bertulis (peperiksaan),” katanya.