Tiga geng jenayah tumpas, 18 ditahan termasuk dua wanita

0

HAMZA (dua kiri) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam Ops Cantas Khas Jenayah baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Polis berjaya menumpaskan tiga geng jenayah yang terbabit pelbagai kes pecah rumah, samun dan melarikan kenderaan di sekitar ibu negeri sehingga mengakibatkan kerugian lebih setengah juta dengan tertangkapnya 18 individu termasuk dua wanita kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata semua suspek berusia antara 18 hingga 38 tahun itu yang ditahan secara berasingan sejak pertengahan November hingga awal Disember lalu merupakan hasil daripada kejayaan Ops Cantas Khas Jenayah yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di beberapa lokasi.

Daripada jumlah itu, beliau berkata 10 daripada individu yang ditangkap didapati positif dadah dan kini telah berada dalam tahanan reman untuk tindakan lanjut.

Katanya polis juga percaya dengan tertumpasnya ketiga-tiga kumpulan yang dikenali sebagai Geng Samsir, Geng Boy dan Geng Raqib itu pihaknya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes di sekitar ibu negeri selain merampas semula barangan-barangan milik mangsa yang bernilai kira-kira RM620,000 jumlah keseluruhan.

“Kita telah berjaya menumpaskan tiga kumpulan dengan menangkap 18 orang iaitu 16 lelaki dan dua wanita.

“Anggaran jumlah keseluruhan disebabkan oleh ketiga-tiga kumpulan ini yang terlibat dengan aktiviti samun, pecah rumah dan sebagainya adalah bernilai kira-kira RM685,100 di mana ianya mencecah lebih setengah juta ringgit kerugian.

“Daripada jumlah ini, yang berjaya didapatkan semula adalah RM620,000 dan ekoran tertumpasnya tiga kumpulan berkenaan, polis telah menyelesaikan 20 kes,” katanya.

Antara barangan yang berjaya dirampas semula adalah dua buah Toyota Vios, sebuah pacuan empat roda Isuzu D-Max, Perodua Myvi, wang tunai, barangan kemas, televisyen, pistol angin, pisau, parang, pedang samurai, komputer riba, telefon bimbit, kamera, mata wang asing dan lain-lain di mana kesemuanya merupakan hasil aktiviti kegiatan kumpulan-kumpulan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan dekat sini kelmarin.

Turut hadir dalam majlis itu adalah timbalan Hamza, Datuk Abdul Malek Harun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Omar Mamah dan pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra.

Mengulas lanjut, Hamza berkata hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga geng terbabit tidak mempunyai sebarang pertalian antara satu sama lain dan masing-masing diapati menjalankan modus operandi yang berbeza.

“Ketiga-tiga geng ini tidak ada kena mengena namun mereka melakukan jenayah di sekitar Kota Kinabalu dengan mengambil contoh kumpulan Boy yang hanya terbabit dengan jenayah samun kenderaan berkumpulan.

“Manakala kumpulan Raqib dikenal pasti banyak terlibat dengan aktiviti pecah rumah dengan terdapat 10 kes dan satu curi kenderaan.

“Bagaimanapun, kumpulan berkenaan (Raqib) turut dikenalpasti amat agresif ketika melakukan aktiviti jenayah mereka dengan mensasarkan golongan wanita sebagai mangsa sehingga ada yang mendatangkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata suspek-suspek yang ditahan akan disiasat lanjut mengikut beberapa seksyen termasuklah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, 379 A Kanun Keseksaan, 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya.

Sementara itu, Hamza turut berkata bahawa tindakan lanjut akan diambil terhadap tiga premis pajak gadai yang telah dikenal pasti melakukan urusan jual beli barangan curi dalam beberapa kejadian membabitkan ketiga-tiga kumpulan itu.

“Kita akan mengambil tindakan terhadap premis pajak gadai yang didapati terlibat dalam urusan terbabit mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Akta Pajak Gadai atau membatalkan lesen perniagaan mereka,” katanya.