Mangsa banjir perlukan bantuan tambahan: Najib

0

TEMERLOH: Kerajaan akan mencari sumber dan bantuan tambahan untuk disalurkan kepada mereka yang ditimpa musibah banjir baru-baruini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata beliau sedar bantuan khas kerajaan pusat RM500 kepada setiap keluarga itu tidak memadai, berikutan ramai mangsa banjirmengalami kerugian yang sangat besar akibat bencana itu.

“Saya amat prihatin dengan nasib mangsa banjir di seluruh negara, khususnya bagi mereka di Pahang. Oleh itu saya fikir walaupun kerajaan luluskan sumbangandarurat RM500 sekeluarga tapi bantuan RM500 itu tentu sekali tidak memadai.

“Saya dah lihat keadaan di Sungai Isap (Perkampungan Sungai Isap, Kuantan) baru-baru ini, saya lihat sendiri keadaan bagaimana keadaan rumah mereka airnaik sampai ke bumbung, sampai (sehingga) tiga hari, saya dapat gambarkantaksiran kerugian setiap keluarga (terbabit),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan mangsa banjir peringkat nasional dan perhargaan kepada para sukarelawan di Masjid AbuBakar, Temerloh, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan pengiraannya, setiap keluarga di Sungai Isap mengalami kerugian sekitar RM25,000 sehingga RM30,000.

“Dari segi kerugian kewangan, bantuan kerajaan ini (RM500)  perlu ditokok tambah lagi, cari punca-punca  untuk tambah, elok cari sumber tambahan,hari ini (misalnya)  kita dapat lakukan satu program khas yang disumbangkan olehKelab Putera 1Malaysia,” katanya.

Najib kemudiannya menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

Banjir buruk yang melanda beberapa buah negeri baru-baru ini membabitkan lebih 107,203 jumlah mangsa yang dipindahkan melibatkan 29,921 keluarga diPahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Melaka.

Di Pahang sahaja, seramai 13,054 keluarga terbabit banjir.

Sementara itu Abdul Azeez berkata antara bantuan yang diagihkan kelab itu semalam di Pahang adalah 29,921 tilam, 59,842 bantal dan 29,921 dapur.

Selain itu Tabung Haji turut menyumbang kain pelikat berjumlah 10,000 helai, kain batik (10,000), telekung (10,000), tudung (10,000) dan sejadah (10,000) kepada mangsa banjir di Pahang. — Bernama