MCA perlu segera berubah jika tidak mahu ditolak

0

KUALA LUMPUR: MCA perlu melakukan perubahan untuk memaksimumkan fungsinya serta mempunyai tadbir urus lebih baik bagi mengukuhkan kedudukannya seperti parti lain, kata Ketua Wanita MCA Datuk Yu Chok Tow.

Beliau bagaimanapun berkata langkah itu memerlukan anggota MCA bekerja dengan lebih tekun untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Perubahan yang dilakukan juga boleh mengembalikan prestij dan kedudukan MCA sebagai parti yang mewakili masyarakat Cina dan sebagai parti politik arus perdana, kata Yu ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita MCA ke-38 di Wisma MCA di sini semalam.

Perhimpunan itu dirasmikan Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha.

Yu, yang tidak mempertahankan jawatannya, berkata jika MCA gagal melakukan perubahan kali ini, parti itu akan ditolak rakyat, terutama masyarakat Cina.

“Perubahan perlu dilakukan, walaupun ia sesuatu yang mungkin menyakitkan, kerana ia merupakan tugas yang sangat berat dan mencabar. MCA tidak ada pilihan, selain menerima saja hakikat ini. Kita perlu menghadapi cabaran ini dan MCA perlu berjaya.

“Sesungguhnya, kita tidak boleh mensia-siasakan sahaja peluang ini untuk melakukan perubahan. Kalau kita tidak berubah, kita tidak akan diberi peluang sekali lagi oleh rakyat atau sejarah. Kita ada masa sekurang-kurangnya tiga tahun, paling lama pun lima tahun, untuk membuat perubahan terhadap parti,” katanya.

Dalam ucapan terakhir beliau sebagai Ketua Wanita MCA, Yu berkata kemerosotan sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional pada pilihan raya umum Mei lepas bukan bererti masyarakat itu tidak berterima kasih atau tidak sayangkan negara.

“Selagi kita mempunyai keazaman untuk bekerja lebih tekun dan mempamerkan tahap kesungguhan politik lebih tinggi serta keberanian dan kesediaan untuk memikul tanggungjasab politik, maka kita akan dapat memikat hati dan pengiktirafan masyarakat Cina terhadap keyakinan kita,” katanya.

Yu juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada anggota Wanita MCA atas sokongan padu dan kerjasama mereka ketika beliau mengetuai sayap itu.

Pada majlis itu juga, Wanita MCA bertafakur sejenak bagi mengenang kematian bekas Ketua Wanita MCA Johor dan anggota Parlimen Gelang Patah Tan Ah Eng.

Tan meninggal dunia akibat kanser pada Ogos tahun ini.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas perasmian itu, Yu mencadangkan kepada pucuk pimpinan MCA supaya memberi peluang kepada setiausaha agung dan setiausaha organisasi Wanita dilantik menjadi timbalan setiausaha dan setiausaha organisasi dalam jawatankuasa pusat (CC) peringkat bahagian dan cawangan.

Katanya jika cadangan ini diterima, maka perlembagaan parti harus dipinda.

“Ia bukan sahaja dapat memberi peluang kepada wanita menunjukkan kredibiliti mereka dalam kepimpinan, malah dapat merapatkan hubungan antara sayap wanita dengan jawatankuasa pusat kerana bukan hanya kaum lelaki sahaja yang menerajui parti,” katanya.

Yu juga berharap agar lebih banyak anggota Wanita MCA yang tampil untuk bertanding dalam pelbagai jawatan tertinggi di peringkat pusat pada pemilihan akan datang.

“Berbanding dengan pemilihan parti penggal sebelum ini, sebanyak sembilan anggota perwakilan Wanita MCA bertanding pada peringkat jawatankuasa pusat namun pada tahun ini ia turun kepada hanya tiga orang,” katanya.

Tiga anggota yang bertanding ialah bekas Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun (naib pengerusi), Ketua Wanita Pulau Pinang Ooi Siew Kim dan anggota Jawatankuasa Wanita MCA Tee Hooi Ling masing-masing untuk jawatan dalam CC. — Bernama