2,041 belia di DUN Bukit Besi terima wang Dana Bakti Remaja

0

DUNGUN: Lebih 2,000 belia di kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Besi semalam menerima manfaat daripada Program Dana Bakti Remaja yang diberi oleh kerajaan Terengganu kepada golongan bujang berusia 21 hingga 40 tahun.

Masing-masing menerima wang tunai RM200 yang diserahkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Roslee Daud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu.

Bagi Mohd Aizat Zakaria, 26, dari Kampung Jengai, wang tersebut akan digunanya untuk meringankan beban keluarga selepas kediaman mereka terbabit dalam bencana banjir baru-baru ini.

“Saya mahu beli peralatan dapur rumah yang rosak,” katanya yang turut memberitahu Bernama ini kali ketiga dia menerima dana itu.

Nik Aimuni Najiha Nik Adnan, 21, dari Kampung Jerangau Sungai pula bersyukur dengan sumbangan itu yang dapat dijadikan duit belanja semasa mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajiannya bulan lepas.

Seorang lagi penerima Aishah Ahmad, 23, dari Bandar Al Muktafi Billah Shah, berkata dia bersyukur kerana negerinya diperintah oleh sebuah kerajaan yang prihatin akan nasib orang muda sepertinya.

“Bukan senang orang nak bagi kita duit percuma macam ni, mujur ada kerajaan yang baik dan prihatin terhadap remaja, dapatlah juga saya merasa duit dana ini,” katanya.

Sementara itu Roslee berkata sebanyak 2,041 belia dari 26 buah kampung menerima wang berkenaan semalam. — Bernama