SABERKAS kutuk rancangan demonstrasi guling kerajaan

0

KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (SABERKAS) mengutuk tindakan pihak tertentu yang merancang mengadakan demonstrasi jalanan atau perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan.

Setiausaha Agungnya Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tindakan seperti itu bukanlah untuk menyelesaikan masalah, sebaliknya akan menyebabkan berlaku rusuhan atau kerosakan harta benda awam.

Sehubungan itu, menurutnya, penganjur sebarang aktiviti tidak bermaruah seperti itu sepatutnya berfikiran lebih rasional kerana terdapat saluran untuk meluahkan rasa tidak puas hati.

“Kita (SABERKAS) memang mengutuk sebarang perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan kerana boleh menyebabkan berlaku rusuhan dan kerosakan harta benda,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan pihak tertentu untuk mengadakan demonstrasi menggulingkan kerajaan pada malam 31 Disember di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Sambil menyifatkan demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram sebagai budaya negatif, Dr Abdul Rahman menjelaskan, di sebalik melakukan protes, aktiviti tidak bermaruah itu sebenarnya merosakkan belia.

Tambahnya, belia sepatutnya diajak untuk terlibat dengan aktiviti membina atau sesi dialog bukannya berhimpun secara haram tanpa sebarang tujuan.

“Belia adalah pelapis kepimpinan negara dan janganlah rosakkan minda mereka dengan budaya negatif,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati golongan belia di negeri ini agar tidak terlibat dengan sebarang demonstrasi jalanan atau perhimpunan haram.

“Saya percaya belia di Sarawak tidak akan terlibat dengan aktiviti seperti itu kerana ia bukan budaya yang diamalkan di negeri ini,” jelasnya.