Sarawak berguru di Korea

0

HARAPAN: Dr Toh (dua kiri) bersama yang lain ketika mengadakan sidang media di Sibu semalam.

STF rancang untuk menghantar tenaga pengajar taekwondo timba pengalaman

SIBU: Sarawak Taekwondo Federation (STF) merancang untuk menghantar tenaga pengajar ke Kukkiwon di Seoul, Korea Selatan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam sukan taekwondo dan seni mempertahankan diri.

Pengerusi STF, Dr Henry Toh berkata selama ini taekwondo dipromosikan hanya sebagai sukan semata-mata.

“Harapan saya pada masa hadapan adalah untuk melihat STF sebagai sebuah organisasi yang pakar dalam latihan dan menyampaikan budaya seni mempertahankan diri.

“Ini termasuklah pengkhususan dan bidang mempertahankan diri, budaya dan etika taekwondo, menghormati orang lain, menegakkan undang- undang dan perlembagaan serta sentiasa bersikap rendah diri,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dr Toh berkata, beliau juga akan pergi ke Kukkiwon untuk membincangkan perkara itu tidak lama lagi.

Selain itu, STF juga akan menubuhkan cawangan sukan taekwondo yang mengkhususkan latihan kepada pelajar yang memiliki kecenderungan dan berbakat dalam sukan itu.

Menurut beliau, cawangan tersebut melatih pelajar yang ingin bersaing dalam sukan di dalam negeri atau peringkat antarabangsa.

“Ini adalah sebab kita mahu mengemukakan permohonan pendaftaran dengan Suruhanjaya Sukan untuk menjadi terbaik dalam sukan di peringkat antarabangsa, kita mesti mempunyai kepakaran.

“Pendaftaran dengan suruhanjaya itu hanya untuk tujuan sukan seperti Sukan Olimpik,” jelas beliau.

“Apabila permohonan kami diluluskan oleh suruhanjaya itu bahagian sukan STF akan mengkhususkan kepakaran dalam Sukan Olimpik dan aspek seni mempertahankan diri akan diuruskan bahagian seni mempertahankan diri STF.

Dalam perkembangan lain, Dr Toh menafikan bahawa STF sebuah pertubuhan haram.

Beliau berkata, ia didaftarkan pada 1976 dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan bernaung di bawah Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA).

“Jadi tidak ada sebarang persoalan bahawa ia menyalahi undang-undang kerana kita tidak pernah dibatalkan pendaftaran,” katanya.

Menyentuh mengenai MTA, beliau mengulangi bahawa ia masih merupakan ahli gabungan Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF).

Beliau juga mengecam bekas para pelajarnya yang kini bersama badan taekwondo lain.

“Tidak ada sebarang keperluan untuk bercakap atau memburukkan pertubuhan orang lain.

“Ada tujuan memburukkan STF kerana merasakan terancam dengan kehadiran kami,” katanya.

Beliau berkata, dengan pembukaan semula sekolah tidak lama lagi, pengajar STF merancang memasuki lebih banyak sekolah untuk mengajar taekwondo.

Beliau menambah Kementerian Pendidikan tidak mempunyai masalah dengan sekolah bagi membuka kelas taekwondo selagi pengajarnya berkelayakan dan berdaftar dengan Majlis Sukan Negeri (MSN).

Turut hadir Setiausaha Agung STF, Fong Ming dan STF ‘senior seventh dan blackbelters’ Leong Khim Fuk, Edward Subeng dan Pang Ming Sing.