Sabah perkenal produk pelancongan baharu sempena TMM 2014

0

KOTA KINABALU: Sabah akan menggiatkan promosi produk pelancongan baharunya bagi merancakkan lagi sektor itu sepanjang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitarnya Datuk Masidi Manjun berkata antara produk terbabit ialah Gunung Trus Madi di Tambunan dan Gunung Tambuyukon di Ranau.

“Dengan produk-produk baharu yang berpotensi besar itu, kami yakin mampu mencapai sasaran 3.4 juta ketibaan pelancong ke negeri ini sempena TMM 2014,” katanya pada sidang media menyambut ketibaan pelawat pertama ke Sabah di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, semalam.

Gunung Trus Madi setinggi 2,642 meter merupakan yang kedua tertinggi di Sabah selepas Gunung Kinabalu (4,095 meter) manakala Gunung Tambuyukon pula setinggi 2,579 meter. Kesemuanya merupakan sebahagian daripada Banjaran Crocker.

Sementara itu, Masidi berkata Kota Kinabalu mencatat rekod penerbangan sewa khas tertinggi di negara ini dengan 237 penerbangan sepanjang tahun lepas.

“Ini bagi saya perkembangan yang cukup menggalakkan cuma cabaran kita di Kota Kinabalu sekarang ialah jumlah bilik penginapan pada masa-masa tertentu tidak mencukupi,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Datuk Maznah Mazlan berkata pelancaran TMM 2014 peringkat nasional akan berlangsung pada Sabtu ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Maznah berkata Sabah merupakan antara destinasi terpenting bagi menjayakan TMM 2014.

Beliau berharap pendapatan daripada industri pelancongan akan memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di luar bandar di Sabah menerusi program inap desa selain memberi latihan kepada tenaga tempatan sebagai pemandu pelancong. — Bernama