Telupid bakal jana pembangunan: Michael Asang

0

SANDAKAN: Telupid yang dinaik taraf daripada daerah kecil kepada daerah penuh berkuat kuasa semalam akan menjana pembangunan khususnya dalam penyediaan prasarana kepada penduduknya.

Pembantu Menteri Kewangan negeri Datuk Michael Asang berkata beliau  dan penduduk di kawasan itu sudah lama menantikan kelulusan itu sejak cadangan menaikkan taraf daerah itu dikemukakan kepada kerajaan negeri sejak 1985.

Katanya langkah menaik taraf Telupid kepada daerah penuh itu menjadi detik bersejarah bagi penduduknya dan hadiah tahun baharu yang sungguh berharga.

“Keputusan meluluskan untuk menaik taraf daerah kecil Telupid kepada daerah penuh membuktikan keprihatinan kerajaan negeri mendengar suara rakyat dan bagi mentransformasikan pembangunan di daerah ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk itu kepada Bernama semalam.

Menurutnya berikutan itu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri telah meluluskan pemberian tiga jawatan untuk Pejabat Daerah Telupid iaitu Pegawai Daerah dan dua penolong pegawai daerah.

Beliau berkata pewartaan daerah Telupid yang telah diluluskan pada 27 Nov tahun lepas akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Katanya antara kemudahan untuk rakyat yang akan diberi tumpuan adalah menaik taraf Klinik Kesihatan Telupid kepada Hospital.

Michael berkata kemudahan hospital diperlukan disebabkan klinik kesihatan Telupid tidak dapat menampung jumlah pesakit untuk mendapatkan rawatan bukan sahaja membabitkan penduduk Telupid, malah dari daerah Tongod.

Menurutnya pembinaan kedai baharu juga diperlukan sesuai dengan daerah Telupid menjadi persinggahan laluan jalan raya ke daerah di timur negeri ini.

Daerah Kecil Telupid diwujudkan pada 1 Julai 1977 dan diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Daerah di bawah pentadbiran Pegawai Daerah Beluran. — Bernama