Biro Agama diyakini pastikan perpaduan berbilang agama di S’wak

0

KUCHING: Penubuhan Biro Agama Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) baru-baru ini diyakini mampu memastikan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Nancy Shukri berkata, isu kalimah Allah dan rampasan kitab Injil kini menjadi buah mulut kebanyakan masyarakat di negara ini.

Justeru, katanya penubuhan biro itu merupakan langkah segera memperkukuhkan lagi keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Biro Agama Wanita PBB yang dipengerusikan oleh ADUN Lingga Simoi Peri dan Esther Balan dilihat mampu memastikan objektif perjuangan memperkasakan lagi keharmonian dapat dicapai,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, biro berkenaan akan mengawal selia hal ehwal berhubung agama serta menyusun atur strategi serta langkah terbaik bagi memastikan perpaduan kaum di peringkat akar umbi terus terpelihara.

Nancy menjelaskan bahawa Biro Agama Wanita PBB berkonsepkan hubungan antara agama yang meletakkan nilai murni sejagat yang dikongsikan dalam setiap agama.

“Konsep ini melihat kepada aspek para penganut agama yang menghayati agama akan menjadi insan yang mencintai keamanan dan nilai murni sejagat tidak kira apa juga pegangan agama yang kita amalkan,” tegasnya.

Beliau memberitahu, penubuhan itu juga membuktikan kesungguhan parti dalam memastikan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak dipertahankan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada ahli Wanita PBB agar menggunakan pendekatan termasuk teknologi media baharu untuk memperjelaskan dan menarik golongan muda supaya tidak terpengaruh dengan isu-isu sensitif berkaitan agama.

“Kita harus menjuarai teknologi agar golongan ini tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang, isu kalimah Allah dan hal berkaitan agama boleh membangkitkan kemarahan anak-anak muda yang tidak mengetahui kronologi yang sebenar,” ujarnya.