Jangan libatkan sentimen politik dalam isu kalimah ‘Allah’: Idris

0

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron meminta semua pihak di negara ini tidak melibatkan sentimen politik dalam isu kalimah ‘Allah’ bagi memastikan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini sentiasa terjamin.

Beliau berkata sentimen politik dan isu kalimah Allah merupakan dua perkara yang amat berbeza sama sekali malah tidak sepatutnya dicampuradukkan dan tindakan sesetengah pihak yang cuba ‘menangguk di air yang keroh’ dalam isu itu

amat membimbangkan.

Bertindak berdasarkan emosi terhadap isu itu bakal mewujudkan huru-hara di negara ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Ahli Sunnah Wal Jamaah di Masjid Al-Azim di sini semalam.

“Sentimen politik ini bila dipacu kehendak dan kemahuan seseorang akan mengundang pergaduhan besar yang boleh mengugat kestabilan kaum dan agama di negara ini hingga sanggup memperalat kalimah Allah, matlamat mereka menghalalkan cara,” katanya.

Pada 27 Dis lepas Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Melayu walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.

Mengenai wacana itu, Idris berkata isu pluralisme, liberalisme serta cara pemikiran baharu yang negatif perlu ditangani dengan ilmu dan bukan dengan perasaan serta emosi.

Beliau berkata membalas ‘serangan’ dengan berasaskan ilmu dapat mengelakkan pemberontakan dan pergaduhan yang besar daripada berlaku seterusnya mewujudkan keharmonian antara manusia.

“Serangan emosi akan dibalas dengan serangan emosi yang akhirnya mencetuskan perbalahan…yang akan membawa kepada pergaduhan yang besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri turut ditanya mengenai dakwaan Raja Noor Jan Shah Raja Tuah baru-baru ini bahawa beliau telah memperoleh surat pengiktirafan daripada Mahkamah Agung Antarabangsa untuk ditabalkan menjadi Sultan Melaka.

Idris berkata mana-mana individu tidak mempunyai hak untuk menuntut menjadi Sultan Melaka kerana urusan pentadbiran negeri Melaka telah ditulis dalam tatacara perlembangaan persekutuan dan undang-undang di Malaysia.

“Kita mengguna pakai perlembagaan negara dan persekutuan yang menyatakan bahawa Melaka salah satu negeri yang ditadbir dan diurus wakil persekutuan selaku ketua negerinya iaitu Yang di-Pertua Negeri Melaka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong…saya minta beliau berpijak di bumi nyata,” katanya. — Bernama