Site Last Updated 11:19 am, Tuesday

JPS diarah kaji cara bendung hakisan pantai

Posted on January 6, 2014, Monday

MIRI: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarah mengkaji cara membendung masalah hakisan pantai yang mengancam pangkalan nelayan di Kampung Luak di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata masalah itu juga akan dirujuk kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk mengenal pasti cara menyelamatkan kawasan berkenaan daripada terus runtuh.

Menurut Lee, benteng yang dibina sebelum ini tidak mampu melindungi kawasan berkenaan daripada terus dipukul ombak dan menghakis kawasan pantai.

“Hari ini, saya membawa bersama pegawai JPS dan MBM untuk melihat keadaan yang berlaku.

“Saya akan meminta JPS mengambil tindakan berhubung perlindungan pantai.

“Mereka akan datang dan kaji, bagaimana mengawal hakisan pantai,” katanya di sini semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Perhubungan memberitahu, bangsal baharu dicadang dibina untuk menggantikan bangsal yang runtuh dipukul ombak.

Beliau akan berbincang dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Luak tentang cadangan itu.

“Nampaknya kita perlu membina sebuah bangsal baharu di tempat lain.

“Sebahagian bangsal (dibina dekat pantai) telah runtuh,” jelasnya.

Lee berkata beliau cuba memohon peruntukan membina bangsal baharu yang diharap dapat dibina pada tahun ini.

Kelmarin, nelayan di kampung berkenaan meluahkan kebimbangan mereka tentang ancaman hakisan ombak terhadap pangkalan mereka.

Mereka meminta agar benteng baharu dibina di hadapan pangkalan itu agar ancaman ombak pada musim tengkujuh dan air pasang besar dapat dikurangkan.

Pangkalan itu dibina pada 90-an dan digunakan oleh nelayan di kawasan Luak dan Lusut.

Ia mempunyai dua bangsal menyimpan 41 perahu termasuk peralatan menangkap ikan seperti jala yang digunakan oleh 50 nelayan.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.