Terpaksa pindah demi persekolahan anak

0

Demikian luahan penduduk terjejas Empangan Bengoh mengenai perpindahan ke BRS

KUCHING: Berpindah kerana terpaksa demi persekolahan anak-anak.

Demikian luahan sebilangan besar penduduk kampung-kampung terjejas oleh Empangan Bengoh mengenai perpindahan mereka ke Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) dekat sini, pada masa ini.

Bagaimanapun, itu bukanlah maksud mereka langsung enggan berpindah ke BRS tetapi ia adalah disebabkan beberapa faktor yang masih menimbulkan ketidakpuasan hati para penduduk.

Antaranya ialah isu berkaitan tanah di luar perimeter di mana selagi ia tidak diselesaikan maka tidak pasti akan berlaku perpindahan melibatkan 100 peratus penduduk berkenaan.

Penduduk terlibat adalah dari Kampung-kampung Semban, Rejoi, Taba Sait dan Pain Bojong.

Buat masa ini bagi yang tidak mempunyai anak bersekolah, hampir kesemua mereka masih tinggal di penempatan asal masing-masing meskipun sering dinasihati agar berpindah ke BRS.

Menurut Ketua Kampung Semban Bujus Kian, tujuan penduduk tersebut memperjuangkan tuntutan ke atas tanah di luar perimeter adalah kerana ia merupakan hak mereka.

Katanya ini kerana tanah di luar perimeter tersebut belum disukat apatah lagi dibayar sebaliknya mereka kemudian diarahkan berpindah.

“Walaupun ada kampung yang penduduknya 100 peratus setuju berpindah, mereka tetap enggan berpindah sekarang kerana tanah di luar perimeter belum diselesaikan.

“Kebanyakan yang berpindah sekarang pun disebabkan persekolahan anak-anak kerana sekolah di kampung asal (SK Rejoi dan SK Taba Sait) telah ditutup,” katanya ketika ditemu bual, semalam.

Buat masa sekarang, anak-anak penduduk di BRS telah mengikuti persekolahan di sekolah sementara dinamakan SK Taba Sait, menggunakan bekas tapak pejabat kontraktor Naim Engineering Sdn Bhd.

Setakat ini, bilangan penduduk yang berpindah ke BRS telah bertambah daripada tahun lepas iaitu 42 keluarga dari Kampung Semban, 34 keluarga dari Kampung Taba Sait, 22 keluarga dari Kampung Rejoi dan 12 keluarga dari Pain Bojong.

Namun demikian, Bujus berkata kehidupan mereka di BRS sekarang masih lagi tidak menentu di mana mereka berhadapan masalah untuk bertani selain kemudahan tong sampah.

“Sempadan lot pertanian kami belum lagi ditentukan dan ini menyukarkan kami untuk bercucuk tanam.

“Selain itu, kemudahan tong sampah juga tidak disediakan di sini walaupun kami sudah beberapa kali memohon kepada MPP dan Trienekens,” katanya ketika menyuarakan masalah yang dihadapi penduduk di BRS setakat ini.