Wanita pecah amanah dihadapkan ke mahkamah

0

PERBICARAAN: Kelihatan tertuduh dibawa ke kamar perbicaraan di Mahkamah Majistret Sarikei semalam untuk menjalani sesi perbicaraan tentang kes pecah amanah.

Kes pecah amanah kerani akaun dirujuk ke Mahkamah Sesyen Sibu pada 8 Januari ini

SARIKEI: Mahkamah Majistret di sini semalam memutuskan bahawa kes pecah amanah melibatkan seorang kerani akaun sebuah syarikat di sini disebut semula dan dirujuk ke Mahkamah Sesyen Sibu pada 8 Januari ini, jam 9 pagi.

Tertuduh, Lim Hui Ten, 31, dituduh menggelapkan wang syarikat tempat dia bekerja dengan jumlah RM65,000 pada 4 April 2013.

Dalam pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh oleh Pegawai Pendakwa Raya Inspektor Anbarasu Gopi pada sesi perbicaraan kes terbabit semalam, suspek dituduh melakukan pecah amanah pada 4 April tahun lalu, jam 1.24 petang, di salah sebuah bank, di sini.

Berikutan kesalahan tersebut, tertuduh disabit kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dengan sebutan semula kes terbabit di Mahkamah Seksyen Sibu, tertuduh dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM30,000 bersama deposit berjumlah RM5,000 dan dua penjamin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Yap Hoi Liong yang merupakan peguam dilantik oleh syarikat terbabit ketika ditemui di luar mahkamah sebaik sahaja sesi mahkamah tersebut ditangguhkan mengingatkan dan memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati dengan kes-kes penipuan.

“Jangan mengambil pendekatan serupa kerana ketamakan terhadap wang ringgit, ‘kerana sepandai-pandai menipu, sudah pasti suatu hari kita tertangkap’.

“Berusahalah dengan cara halal, rajin dan berkat jika ingin berjaya dan bukannya dengan melakukan penipuan.

“Kita juga ingin mengingatkan orang ramai sekiranya berhadapan dengan sebarang kejadian jenayah, harus bertindak dan melaporkannya dengan segera kepada polis dan tidak mendiamkannya kerana tindakan serupa boleh mengakibatkan penjenayah terus bermaharajalela,” katanya.

Yap turut memuji anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei yang berusaha bertungkus-lumus melakukan siasatan terperinci terhadap kes terbabit dan berharap mampu diselesaikan dalam tempoh terdekat.