Kutip jumlah hasil RM120 juta pada tahun lalu

0

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyasarkan sebanyak 80,000 notis arahan kepada pesalah jalan raya sepanjang tahun ini, menurut Pengarahnya Mohd Shuhaili Mohd Taufek.

Beliau berkata berbanding tahun 2013, pihaknya berjaya mengutip sebanyak 68,000 notis dengan jumlah hasil sebanyak RM120 juta.

Shuhaili yakin sasaran pada tahun ini akan tercapai dengan kerjasama ramai pihak selain JPJ Negeri.

Ini menjadikan Sabah sebagai negeri keempat terbesar bagi pengeluaran notis arahan termasuklah tindakan saman, kompaun dan kes mahkamah di seluruh negara selepas Selangor, Johor dan Pahang.

“Menurut rekod, daripada 68,000 notis terbabit sepanjang tempoh tahun lalu, kita memperoleh kutipan hasil sebanyak RM120 juta iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun sebelumnya (2012).

“Sehubungan itu, kita akan menyasarkan 80,000 keping notis arahan sepanjang tahun ini kepada pesalah jalan raya,” katanya di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaili berkata JPJ akan memberi tumpuan kepada lapan jenis kesalahan utama iaitu memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak menggunakan tali pinggang keledar dan meletak atau memandu di lorong kecemasan.

Beliau berkata, untuk merealisasikan sasaran berkenaan, aktiviti penyamaran serta pengambilan gambar pesalah jalan raya akan dilaksanakan terutamanya kepada mereka yang masih berdegil melakukan kesalahan-kesalahan itu.

“Kami juga akan menumpukan kepada operasi mengesan kenderaan menggunakan cermin gelap yang tidak diluluskan, ubah suai kenderaan, menggunakan lampu xenon dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Mohd Shuhaili berkata masyarakat boleh melakukan transaksi pembaharuan lesen, cukai jalan serta pembayaran saman di pejabat JPJ baru di tingkat lima Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu.

“Orang ramai boleh melawat dan melakukan urusan mereka di UTC Kota Kinabalu seawal jam 7.45 pagi hingga 3.30 petang setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.

“Untuk makluman juga, JPJ sebenarnya ingin menjalankan operasi di pejabat baharu itu sehingga jam 10 malam sehingga Tahun Baru Cina kelak namun disebabkan masalah teknikal seperti operasi kutipan pembayaran, maka ia hanya dapat dilakukan sehingga jam 3.30 petang sahaja,” katanya.