Pengwujudan pembantu tempatan kurang kebergantungan pekerja asing

0

PESERTA terbaik kursus Pembantu Pengurus Rumah, Lina Gangut menerima sijil kecemerlangan daripada Siringan (dua kanan).

PELAKSANAAN program Pembantu Pengurus Rumah (Domestik) diharap mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Siringan Gubat berkata, program terbabit juga mampu mengurangkan penghijrahan belia Sabah ke luar negeri untuk mencari pekerjaan.

“Pekerja tempatan juga akan dapat mengambil alih peluang pekerjaan yang selama ini telah dimonopoli oleh rakyat asing.

“Sekaligus ini dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh majikan tempatan untuk mencari pembantu pengurus rumah termasuk bebanan membayar levi pekerja asing,” katanya dalam ucapan sempena majlis tamat kursus Program Pembantu Pengurus Rumah anjuran kementeriannya di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, seramai 25 peserta dari Tenom, Keningau, Papar, Bongawan, Kota Kinabalu, Tuaran, Tamparuli, Ranau, Kudat, Kota Marudu dan Lahad Datu menyertai program perintis terbabit berjaya menamatkan kursus.

Program yang berlangsung selama empat bulan bermula 2 September 2013 itu melibatkan tiga bulan kursus sepenuh masa dan sebulan latihan praktikal di rumah majikan terpilih.

Menurut Siringan, kementeriannya akan meneruskan program itu pada tahun ini dan menambah bilangan peserta berdasarkan keperluan yang disediakan.

“Modul pembelajaran juga akan diubah suai mengikut keperluan termasuk beberapa penambahbaikan berdasarkan komen dan maklum balas majikan dan peserta sendiri,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada majikan yang telah menerima peserta kursus yang menjalani praktikal mahupun pada masa akan datang supaya memberikan layanan yang sewajarnya dan tidak menyamakan layanan seperti pembantu rumah asing.