Kata tak beritahu media, keluar akhbar Cina

0

SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh mempersoalkan tindakan Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin yang memberitahu, tidak akan memaklumkan kepada media mengenai tindakan yang bakal diambil oleh CWC terhadapnya.

Namun apa yang berlaku menurut Wong, sebuah akhbar berbahasa Cina iaitu Sin Chew Daily kelmarin melaporkan bahawa beliau (Wong) telah dipecat daripada SUPP oleh CWC.

“Chin sebelum ini ada memberitahu media bahawa CWC memutuskan untuk tidak mengumumkan apa-apa keputusan yang telah dibuat terhadap saya melalui pihak media.

“Bagaimanapun pagi ini (semalam), Sin Chew Daily dalam laporannya mengisytiharkan bahawa saya telah dipecat daripada SUPP oleh CWC,” ujarnya dalam satu kenyataan yang die-mel, semalam.

Sehubungan itu menurut Wong, apa yang berlaku seolah-olah menunjukkan presiden parti tidak ada kawalan ke atas ahli-ahli CWC sehingga keputusan pemecatan beliau itu terlebih dahulu diketahui oleh pihak media.

Menteri Kewangan Kedua itu juga mengulangi pendiriannya yang tidak mengiktiraf ahli-ahli CWC parti, yang mana pemilihan CWC itu sebelum ini dicemari dengan penyelewengan dan ketidakadilan.

Keputusan muktamad mengenai CWC semasa dan ahli Jawatankuasa Pusat SUPP katanya, terletak di tangan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), yang telah mengarahkan bahawa parti hanya boleh menjalankan urusan biasa sehingga ROS membuat keputusan.

“Saya tidak pernah mengiktiraf kesahihan CWC semasa.

Kedudukan CWC yang ada bergantung kepada keputusan ROS,” jelas Wong.

Wong juga percaya Chin akan mengarahkan CWC parti memaklumkan keputusan yang bakal diambil terhadapnya dengan segera kerana apa juga keputusan, ia telah diketahui oleh umum.

“Selepas saya menerima surat daripada beliau, saya akan memberi kenyataan selanjutnya,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan itu lagi.