Mandur cedera parah ditetak oleh rakan sekerja

0

 

SANDAKAN: Seorang mandur ladang cedera parah selepas ditetak oleh seorang rakannya dalam satu pergaduhan akibat cemburu di sebuah ladang di Segaliud pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rowell Marong berkata mangsa dikenali sebagai Hasrianto Lobo, 41, mengalami kecederaan pada bahu kiri sehingga terdapat tulang patah.

“Dalam kejadian kira-kira 7 pagi, polis bantuan ladang berkenaan (pengadu) telah menerima maklumat dari penyedia ladang yang mengatakan ada pergaduhan antara suspek, 43, yang juga bekerja sebagai mandur di ladang yang sama dengan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, semasa pergaduhan itu mangsa telah ditetak oleh suspek di bahagian bahu kiri.

Katanya, punca pergaduhan adalah disebabkan perasaan cemburu dan perselisihan faham di mana pengadu ada mendengar bahawa isteri mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suspek.

Rowell berkata, sebelum ini kedua mereka pernah bergaduh sebanyak tiga kali dari tahun lepas tetapi dapat diselesaikan dengan baik atas bantuan majikan, ketua kampung dan orang awam.

“Pihak polis merampas dua parang dan sebilah pisau. Parang yang gunakan oleh suspek berukuran 40cm dan parang yang gunakan oleh mangsa berukuran 35.5cm.

“Sebilah pisau yang dirampas itu beukuran 20.5cm dan dijumpai di bakul motosikal milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan sebelum dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Katanya, suspek ditahan polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.