SPNB akan laksana tiga projek perumahan

0

KOTA KINABALU: Melihat keperluan untuk memiliki rumah sendiri semakin meningkat, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan melaksanakan tiga projek perumahan baharu pada tahun ini.

Pengerusi SPNB Datuk Dr Abd Latif Ahmad berkata, tiga projek itu melibatkan sebanyak 2,812 unit rumah di tiga lokasi berlainan iaitu di Tuaran, Kimanis dan Sandakan.

Ketiga-tiga projek itu melibatkan kos pembinaan sebanyak RM350 juta, katanya.

Beliau berkata, projek perumahan Apartmen Tuaran Impian, Tuaran akan melibatkan pembinaan rumah kos sederhana rendah dan kos sederhana sebanyak 832 unit rumah, sementara projek Wirawan Kimanis, Mandahan melibatkan 1,036 unit rumah dan Vista Leila Idaman, Sandakan pula melibatkan sebanyak 944 unit rumah.

“Kimanis adalah cabaran buat kita kerana ia adalah kawasan Terminal Minyak dan Gas Sabah.

“Kita mempunyai tanah seluas 75 ekar di sana dan kami bercadang untuk menambah keluasan menjadi 150 ekar untuk membina Bandar Baru Kimanis bagi menyokong pertumbuhan pembangunan di situ.

“Bagaimanapun, projek di Kimanis mungkin akan lewat sedikit kerana kita perlu membuat semula reka bentuk yang sedia ada, reka bentuk 10 tahun dahulu. Kita kena mengambil kira keperluan mendadak di Kimanis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Vista Minintod, Inanam kelmarin.

Mengenai cabaran yang dihadapi SPNB, Abd Latif berkata, cabaran utama pemaju seperti mereka adalah dalam berhadapan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapat kelulusan Kelayakan Menduduki (CF).

Beliau berkata, ketiadaan kata sepakat agensi-agensi yang membekalkan perkhidmatan seperti bekalan air dan elektrik merupakan cabaran kepada SPNB.

Namun, SPNB perlu memenuhi keperluan prasarana yang ditetapkan PBT bagi melayakkan projek yang dibina mendapat CF.

Katanya, adalah diharapkan pada masa akan datang, PBT dapat meluluskan projek perumahan yang dibina secepat mungkin demi kepentingan semua pihak terutama pembeli.

Terdahulu ketika ditanya mengenai Projek Apartmen Vista Minintod yang sudah terbengkalai dan mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan, Abd Latif berkata, projek itu mengambil masa yang lama kerana kelewatan kelulusan infrastruktur daripada pihak berkaitan.

“Kita bukan satu-satunya pemaju yang memajukan kawasan ini. Jabatan Perumahan Negara juga membuat kediaman serupa dengan kami di kawasan ini, maka kita kena bertolak ansur dengan jabatan terlibat.

“Misalnya, kita berkongsi saluran paip, saluran pembentungan dan perparitan. Semua prasarana ini dikongsi bersama oleh bangunan yang dibuat SPNB serta pemaju lain.

“Dengan itu, agensi terlibat perlu bergerak secara bersepadu dan birokrasi ini perlu ditangani secara berhemah,” katanya.

Projek RMM Apartmen Vista Minintod terdiri daripada 1,174 unit dan projek berkenaan memperoleh Sijil Layak Menduduki (OC) pada 30 Disember 2013.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KTP) Datuk Haji Hajiji Noor berkata, kerajaan sangat komited dalam memenuhi keperluan perumahan rakyat.

“Sasaran kerajaan adalah untuk menyediakan perumahan mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Kita juga merasai kepentingan golongan muda yang ingin memiliki rumah idaman. Dengan itu, kerajaan mengambil langkah proaktif melalui program perumahan bagi membantu golongan berkenaan,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri KTP Datuk Zakaria Edris.