Operasi mega buru PATI bermula 21 Jan: Ahmad Zahid

0

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melancarkan operasi besarbesaran memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) bermula 21 Januari ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi melibatkan Jabatan Imigresen, polis dan RELA itu akan bermula selepas Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) berakhir pada 20 Januari.

PATI yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal dan kos ditanggung oleh pekerja, majikan atau kedutaan, katanya pada sidang media selepas Pelancaran i-Kad Pekerja Asing di sini, semalam.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dengan kedutaan yang berkenaan.

Menurut Ahmad Zahid, semua PATI yang ditahan akan melalui proses pendaftaran biometrik, iaitu cap jari mereka diambil bagi memastikan PATI terbabit tidak memasuki semula negara ini menggunakan identiti lain.

Ahmad Zahid juga meminta majikan memanfaatkan sepenuhnya tempoh 10 hari ini memandangkan PKPP tidak akan dilanjutkan.

“Jangan tunggu hari terakhir dan pejabat imigresen sesak baharu nak buat permohonan kononnya tidak cukup masa.

Kami telah memberi tempoh yang secukupnya,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, dalam tempoh lebih dua bulan PKPP berlangsung, Pusat Kelulusan Setempat (OSC) KDN hanya menerima 3,951 permohonan daripada majikan setakat ini.

Menerusi PKPP, majikan yang mendakwa ditipu oleh ejen atau orang tengah semasa Program 6P boleh mengemukakan rayuan berhubung kedudukan pekerja asing mereka.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kira-kira 2.3 juta pekerja asing yang telah berdaftar untuk Program 6P wajib memiliki i-Kad yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan selewat- lewatnya akhir tahun ini.

Beliau berkata, langkah itu sebagai usaha untuk membanteras pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Katanya, i-Kad yang dike­luarkan mengikut sektor dan kod warna serta dileng­kapi ciri-ciri keselamatan berteknologi tinggi seperti biometrik cap jari, Nexcode dan ‘contactless chip’ akan diberikan secara berpering­kat.

“Majikan atau pekerja itu sendiri akan membuat per­mohonan dengan bayaran RM110. Wang rakyat tidak akan digunakan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berkompromi jika pekerja asing yang bekerja di negara ini tidak mempunyai i-Kad,” katanya sambil me­nambah, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) merupakan syarikat yang dilantik membekalkan i-Kad yang mana penggunaannya telah berkuat kuasa pada 15 November tahun lepas.

Ahmad Zahid berkata, i-Kad memudahkan pihak pen­guat kuasa mengesan warga asing yang bekerja dalam 10 sektor di negara ini dan pada masa yang sama, ia dapat mengelak pemalsuan kerana segala butiran penting dapat diakses dengan mudah.

“Kita akan memperting­katkan ciri-ciri keselamatan lain pada fasa kedua nanti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata bagi membanteras kegiatan judi haram, polis akan memperhebatkan Ops Dadu dan dengan itu mem­beri amaran tegas kepada pengusaha judi haram secara konvensional dan ‘online’ agar menghentikan operasi mereka.

“Ops Dadu telah diadakan selama ini tetapi kita akan memperhebatkan operasi.

Tarikh akan diumumkan dalam bulan ini. Kita mem­punyai skuad khas dan kini di peringkat akhir melatih mereka,” katanya.

Sebuah tabloid kelmarin melaporkan 200 anggota yang dilatih khas dari Pasu­kan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) akan mengambil tindakan ter­hadap premis perjudian haram di seluruh negara. — Bernama