Nenek terima lima jahitan ketika selamatkan stor terbakar

0

SIBU: Seorang nenek menerima lima jahitan di kepalanya setelah terhantuk pada kayu belian semasa bergegas memadamkan api yang menjilat stor di bawah rumahnya di Jalan Abang Barieng di sini, petang semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 2.15 petang itu, nenek berusia dalam lingkungan 50-an terbabit dikejutkan oleh asap tebal dari bawah rumahnya.

Semasa berlari-lari anak untuk mendekati stor yang terbakar, kepala mangsa terhantuk pada kayu belian di bawah rumah yang menyebabkannya terjatuh.

Akibatnya, kepala nenek terbabit mengalami pendarahan dan terpaksa dihantar oleh ahli keluarganya mendapat rawatan di Klinik 1Malaysia di Jalan Bandong di sini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu yang menerima panggilan kecemasan pada jam 2.26 petang mengejarkan 16 anggotanya diketuai oleh Abdul Mutalif Jaafar ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi kejadian, mereka mendapati perkakasan rumah termasuk sofa dan permaidani yang disimpan di dalam stor bawah rumah itu sedang terbakar.

Beberapa penghuni rumah berkenaan berjaya memadamkan api dengan menyimbah air menggunakan baldi.

Semasa kejadian hanya enam orang berada di rumah termasuk dua warga tua dan tiga orang kanak-kanak.

Bomba kemudian membuat pemeriksaan dan mengambil laporan kejadian. Punca kejadian masih dalam siasatan.