MLKN lantik pasukan nilai program PLKN

0

TAWAU: Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan melantik beberapa pasukan bagi menilai secara berterusan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Pengerusi MLKN Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata program transformasi yang akan dilakukan secara berperingkat mulai tahun ini melibatkan penambahbaikan dari segi modul, penyertaan pelatih dan kemudahan infrastuktur.

“Modul yang ada kini baik cuma kita tambah ikut keperluan semasa,” katanya katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat tertutup di Kem PLKN San Shui di sini semalam.

Beliau berkata transformasi yang dilakukan kali ini lebih bersepadu dengan mengambil kira keperluan yang selari dengan perubahan zaman khasnya pada eraglobalisasi dan teknologi terkini.

“Banyak perkara baharu yang kita lihat, oleh itu kita mahu pelatih dapat maklumat yang cepat dan tepat dan ini dapat membentuk peribadi yang lebih utuhdan menyeluruh kepada pelatih,” katanya.

Noor Ehsanuddin berkata program PLKN ini bersifat statik dan perlu mengadakan lonjakan berganda agar selari dengan keperluan semasa sekali gus memberi manfaat kepada pelatih.

Beliau berkata lawatan kerjanya ke kem PLKN itu amat signifikan selepas kem itu antara yang ditutup selepas kejadian pencerobohan di Lahad Datu, awal tahunlepas.

“Ini lawatan pertama ke kem ini dan tahun ini merupakan tahun transformasi dan kita akan melihat elemen yang boleh ditambah baik khasnya kemudahan prasarana agar menepati piawaian,” katanya.

Kem PLKN San Shui menempatkan 375 pelatih iaitu terdiri daripada 207 lelaki dan 167 waanita. — Bernama